PRN Melaka: BN muktamadkan rakan kerjasama selepas 7 Okt - Zahid
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata gabungan itu akan memutuskan parti atau gabungan mana yang akan menjadi rakan kerjasama mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas 7 Oktober ni.
Ahmad Zahid berkata BN telah mengadakan perbincangan dengan PH dan PN serta kini menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum memuktamadkan bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Dengan kedua-duanya (PH dan PN) kami telah mengadakan perbincangan sebenarnya.
“Kami akan menunggu keputusan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya pada 7 hari bulan nanti dan selepas itu akan ada pengumuman untuk memuktamadkan dengan gabungan mana yang harus kita bersama atau mengadakan jalan kesepakatan untuk kita bergerak dalam pilihan raya negeri Melaka.
“Kami sangat terbuka,” katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Seminar Ilmuan Islam Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini.
Apabila ditanya mengenai tahap kemajuannya pada skala satu hingga 10, [residen Umno itu berkata:
“Perbincangan satu hingga 10 adalah 9.5".
PAS guna logo sendiri
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN tidak mempunyai masalah sekiranya PAS memilih untuk menggunakan logonya sendiri pada PRN Melaka.
Menurutnya, perkara berhubung penggunaan logo masih belum dibincangkan secara rasmi, namun dia menjangkakan PAS lebih selesa menggunakan logo parti itu sendiri seperti pada pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan.
“Kami tidak ada masalah kalau mereka mahu menggunakan logo yang mereka akan gunakan. Itu adalah soal parti mereka.
“Tetapi tentunya BN dan rakan-rakan dalam gabungan parti-parti Barisan Nasional akan tetap menggunakan logo kami,” katanya.
/file/1249/1b4204c140f791cb3b26a6df976cccff.jpeg)
Ahmad Zahid berkata walaupun bentuk kerjasama dan penggunaan logo belum dimuktamadkan, BN telah merancang untuk menggerakkan jentera bersama di peringkat akar umbi, termasuk di pusat daerah mengundi (PDM).
“Di peringkat akar umbi, di peringkat jentera, terusnya di pusat daerah mengundi, kita akan bergerak sama-sama.
“Walaupun kita belum putuskan dengan partner mana kita mahu bergerak, tetapi kita telah merancang untuk menggerakkan jentera ini agar gelombang biru di Negeri Melaka ini akan benar-benar dapat diterjemahkan,” katanya.
Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 23 September lalu, manakala SPR dijadual bermesyuarat pada 7 Oktober untuk menetapkan tarikh penting pilihan raya.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid berharap Universiti Teknologi MARA (UiTM) dapat menubuhkan Jabatan Kuantum pada tahun depan sebelum dikembangkan menjadi sebuah fakulti.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/10/38047ff989a6634bed975d857758675b.jpg)
Katanya, teknologi kuantum merupakan bidang baru yang berpotensi meletakkan Malaysia di barisan hadapan teknologi bersama negara lain.
“Saya penuh keyakinan jika UiTM dapat diberikan pertanggungjawaban untuk menubuhkan jabatan ini pada tahun hadapan, saya amat yakin potensinya cukup besar bagi mengambil ramai pelajar untuk memasuki pengajian ini.
“Dan akhirnya dalam kurang daripada satu dekad akan melahirkan pakar-pakar kuantum di negara kita,” katanya.
Zahid berkata kerajaan juga akan menyalurkan modal awal atau seed capital sebanyak RM500,000 bagi membolehkan langkah penubuhan jabatan itu dilaksanakan dengan segera.
/file/attachments/orphans/ZahidHamidi3_220477.jpg)
