PARLIMEN l Bekas timbalan menteri undang-undang Ramkarpal Singh mencadangkan supaya kerajaan menggubal undang-undang khusus untuk menangani kesalahan-kesalahan berunsur perkauman dan agama seperti Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum yang baru-baru ini diperkenalkan di Singapura.

Katanya, ini berikutan isu hasutan, provokasi, dan ketegangan berkaitan kaum serta agama yang masih berleluasa di Malaysia.

Dalam soalan yang dikemukakan di Parlimen, Ramkarpal (PH-Bukit Gelugor) berkata undang-undang sedia ada untuk menangani masalah berkenaan tidak memadai dan sudah ketinggalan zaman.

Ramkarpal Singh

Bagaimanapun, jawapan daripada bekas ketuanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman tidak menggambarkan dorongan ke arah penyelesaian yang dicadangkan oleh anggota parlimen DAP itu.

Dalam jawapan bertulis bertarikh semalam, Azalina berkata kerajaan memandang serius perkara yang mengancam keharmonian antara kaum dan agama, serta mengambil maklum undang-undang di negara lain termasuk Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum.

Namun, dia tidak memberi sebarang petunjuk sama ada kerajaan berminat untuk memperkenalkan undang-undang sedemikian atau tidak.

“Sekiranya ahli Yang Berhormat mempunyai apa-apa cadangan berkaitan dengan penggubalan undang-undang atau penambahbaikan dasar dalam aspek perpaduan dan keharmonian masyarakat boleh dikemukakan kepada Kementerian Perpaduan Negara untuk penelitian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Kementerian Perpaduan Negara secara umumnya dilihat tidak mempunyai kuasa kerana ketiadaan kuasa penguatkuasaan.

Menteri Aaron Ago Dagang tahun lalu berkata kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan atau mengenakan hukuman terhadap individu yang mencetuskan provokasi kaum dan agama.

Sebaliknya, kuasa penguatkuasaan dan tindakan undang-undang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, pihak polis, Kementerian Komunikasi, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) – dan bukannya Kementerian Perpaduan Negara.

Senada dengan itu, peguam Andrew Khoo sebelum ini berpendapat Kementerian Perpaduan Negara perlu diberi lebih kuasa, selain berhujah bahawa sebarang undang-undang atau perubahan dasar boleh melibatkan pemberian kuasa kepada kementerian itu untuk bertindak terhadap kes berkaitan kaum dan agama, di samping mengurangkan bidang kuasa kementerian lain sedia ada.

Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum Singapura diluluskan tahun lalu dan mula dikuatkuasakan pada 15 Sept lepas.

Antara lain, akta itu memberi kuasa kepada Kementerian Dalam Negeri Singapura untuk mengeluarkan perintah sekatan terhadap pihak yang membuat atau berkongsi kandungan yang menjejaskan keharmonian kaum. Peruntukan serupa telah wujud bagi provokasi agama sejak 1990 di bawah Akta Penyelenggaraan Keharmonian Agama republik itu.

Sementara itu, Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum juga menggantikan elemen kaum di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan Singapura.

Seksyen berkenaan sebelum ini mengenakan hukuman terhadap perbuatan melukakan perasaan agama dan kaum, serta mempromosikan ketidakharmonian kaum dan agama. Versi Malaysia bagi seksyen tersebut pada masa ini hanya merangkumi isu agama.

Undang-undang yang dikemas kini itu masih merangkumi perbuatan melukakan sentimen kaum, tetapi kini secara khusus meliputi tingkah laku yang menghina, memfitnah, merendahkan, mengancam, atau mendera orang lain atas dasar kaum, serta mereka yang menggesa keganasan berunsur kaum.

Di samping itu, Akta Penyelenggaraan Keharmonian Kaum turut memperkenalkan Inisiatif Pemulihan Komuniti yang bertujuan memberi peluang kepada pesalah untuk membetulkan tingkah laku rasis dan memulihkan hubungan dengan masyarakat.