Perikatan Nasional (PN) menuduh Bersatu cuba melumpuhkan gabungan itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Tuduhan itu dibuat dalam afidavit yang difailkan oleh Takiyuddin Hassan bagi menyokong permohonan semakan kehakiman PN, yang bertujuan membatalkan dua notis ROS yang memberi amaran kemungkinan pembatalan pendaftaran PN dan mengarahkannya menghentikan aktiviti menggunakan nama gabungan itu.

Menurut Takiyuddin, dia percaya Bersatu mempunyai niat jahat apabila membuat aduan kepada RoS selepas disisihkan daripada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu tidak membuat aduan tersebut untuk mempertahankan apa-apa hak yang dipunyainya selaku parti anggota PN.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu membuat aduan tersebut untuk melumpuhkan PN - suatu gabungan yang pada masa itu sedang ditentangnya dalam pilihan raya,” katanya dalam afidavit sokongan mahkamah tersebut.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu merujuk kepada pilihan raya negeri Melaka akan datang, yang tarikhnya belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dilaporkan bahawa PN menerima notis daripada RoS pada 22 dan 23 Sep, ekoran aduan Bersatu bahawa parti itu tidak dijemput ke mesyuarat majlis tertinggi gabungan berkenaan walaupun masih menjadi anggota.

RoS memberi tempoh 30 hari kepada PN untuk mengemukakan sebab kepada badan pengawal selia itu.

Sebagai maklum balas, Takiyuddin pada 24 Sep mengecam ROS dengan menyatakan notis pembatalan pendaftaran itu dikeluarkan atas niat jahat (mala fide) untuk mengenakan tekanan politik.

PN kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kejelasan mengenai statusnya dan membatalkan tindakan RoS.

Dalam afidavitnya, Takiyuddin memetik beberapa peristiwa bagi menyokong tuduhannya berhubung niat jahat Bersatu itu.

Menurut setiausaha agung PAS itu, PN telah membangkitkan kebimbangan mengenai keabsahan majlis tertinggi Bersatu sendiri dan telah menghantar surat kepada parti itu untuk mendapatkan penjelasan.

Bagaimanapun, Bersatu tidak pernah membalas surat berkenaan, dakwa Takiyuddin, sekali gus mendorong kepimpinan PN untuk menyisihkan parti itu daripada mesyuarat pada 16 Julai.

Dia juga memaklumkan bahawa, sehari sebelum mesyuarat itu, Bersatu mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya negeri Negeri Sembilan di bawah lambangnya sendiri. Parti itu kemudian bertanding di 24 kerusi, termasuk lapan kerusi menentang calon PN.

Takiyuddin berkata Bersatu hanya membangkitkan isu penyisihannya daripada mesyuarat 16 Julai pada 9 Ogos — dua hari selepas mengumumkan bahawa ia berhasrat membentuk gabungan politik baharu — sebelum kemudiannya membuat aduan kepada ROS.

“Bersatu telah menyatakan secara terbuka bahawa ia akan bertanding dalam PRN Melaka ke-16 di bawah simbolnya sendiri sekiranya PN terus digantung. Bersatu merupakan pesaing PN dalam pilihan raya tersebut. Bersatu akan mendapat manfaat daripada penyingkiran PN.

“Sesuatu parti anggota yang berhasrat untuk melindungi PN sudah tentu akan menjawab surat PN; akan menggunakan Perlembagaan PN; akan memberikan kepada PN aduan yang dibuatnya mengenai hal ehwal PN sendiri. Bersatu tidak melakukan satu pun daripada perkara-perkara ini.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa tujuannya adalah untuk menggunakan kuasa-kuasa Pendaftar Pertubuhan terhadap PN,” kata setiausaha agung itu lagi.