Pusat Komas hari ini menyifatkan ucapan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menolak kesamarataan sebagai bertentangan dengan matlamat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Pusat Komas yang merupakan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia menyatakan kekecewaan terhadap ucapan Asyraf yang menyeru pelajar UiTM tidak menjadi penyokong agenda kesamarataan.

"Perkara 153 pada dasarnya merupakan langkah untuk mempromosikan kesaksamaan dengan matlamat mencapai kesamarataan.

"Kedudukan dan keistimewaan khusus yang diberikan kepada komuniti berkenaan adalah disebabkan jurang perbezaan yang wujud sejak zaman penjajahan, sebagaimana yang diakui Asyraf sendiri dalam ucapannya.

"Justeru, ia bertindak sebagai dasar tindakan afirmatif yang bertujuan merapatkan jurang sosioekonomi, dan bukan satu hak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, dalam masa yang sama menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.

Ahad lalu, pada ‘Wacana Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam’ di UiTM Shah Alam Asyraf dilaporkan menasihati mahasiswa UiTM agar tidak terpengaruh dengan naratif kesamarataan, yang menurutnya boleh melemahkan agenda pendidikan bumiputera.

Dia mahu mahasiswa terus menjaga keistimewaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan kepada orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, demi mengekalkan keseimbangan dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi negara.

Sementara itu, merujuk Laporan Suruhanjaya Reid 1957, Pusat Komas menyorot bahawa laporan itu yang menjadi asas penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Jelas NGO itu, Perkara 165 dalam laporan itu menyatakan orang Melayu perlu dijamin bahawa kedudukan semasa akan berterusan untuk tempoh yang ketara, tetapi dalam pada itu keutamaan semasa hendaklah dikurangkan dan akhirnya dihentikan supaya tidak wujud sebarang diskriminasi antara kaum atau komuniti.

"Ini menunjukkan keistimewaan dalam Perkara 153 tidak disyorkan untuk wujud selama-lamanya, sebaliknya dipinda berdasarkan keperluan.

"Seruan Asyraf agar pelajar UiTM mempertahankan peruntukan itu demi generasi akan datang disifatkan menghilangkan tujuan asal Perkara 153, di samping memberi gambaran bahawa tiada titik pengakhiran bagi jurang sosioekonomi yang sepatutnya ditangani peruntukan tersebut," katanya.

Pusat Komas turut berkata gambaran bahawa Perkara 153 sebagai satu hak menjejaskan hakikat sebenar peruntukan itu, selain turut menjejaskan perlembagaan yang memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang untuk semua orang sebagai Kebebasan Asasi di bawah Perkara 8.

Pusat Komas berkata apabila Perkara 153 dibaca secara menyeluruh, Asyraf gagal menyentuh perlindungan perlembagaan terhadap kepentingan sah komuniti lain.

Justeru, NGO tersebut menggesa sesiapa sahaja yang merujuk Perkara 153 untuk membacanya secara keseluruhan.

Pusat Komas juga berkata Malaysia dan pemimpinnya sentiasa menyokong perlakuan saksama dan adil terhadap golongan terpinggir di seluruh dunia, termasuk di Palestin, Syria dan Myanmar.

"Justeru, tokoh terkemuka seperti Asyraf mengelak daripada terus mempromosikan pandangan yang terpesong mengenai Perkara 153 di dalam negara sendiri.

"Kami berharap langkah-langkah tindakan afirmatif yang diperuntukkan undang-undang diiktiraf dan diamalkan sebagai alat demi kesaksamaan dan bukan untuk memecahbelahkan lagi masyarakat Malaysia," katanya.