10 bekas Exco N Sembilan fail saman pemula, cabar pembatalan lantikan
Sepuluh bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (Exco) memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar keabsahan pewartaan pembatalan pelantikan mereka.
Dalam kenyataan media hari ini, firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak berkata saman pemula itu memohon deklarasi mahkamah sama ada pewartaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim, sah dan berkuat kuasa.
Menurut pemohon, pembatalan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dibuat tanpa nasihat Menteri Besar Ismail Lasim.
“Nasihat Menteri Besar diperlukan di bawah Perkara XXXVIII(5), dibaca bersama Perkara XL(1), XL(1A) dan XL(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya.
Saman itu difailkan pada 5 Okt dan menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta Kerajaan Negeri Sembilan masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Menurut peguam, saman pemula itu disokong 10 afidavit daripada kesemua exco berkenaan, selain afidavit tambahan daripada Menteri Besar Ismail Lasim.
Firma guaman itu turut menyeru orang awam supaya tidak membuat spekulasi mengenai saman berkenaan sehingga ia diputuskan mahkamah bagi mengelakkan timbulnya isu subjudis.
Sebelum ini, pada 3 Ogos, sehari selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar, Ismail bertemu dengan kumpulan Undang Yang Empat yang dipertikaikan serta penuntut takhta, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.
Semasa pertemuan itu, Ismail menandatangani dokumen yang mengesahkan pengisytiharan pemerintah luak berkenaan pada 19 April bagi menurunkan Tuanku Muhriz.
Pada 6 Sept, Ismail menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan selepas Undang Yang Empat pada hari sebelumnya menuntut pentadbiran negeri mematuhi proklamasi yang didakwa ditandatanganinya.
Dokumen Surat Cara Proklamasi itu kemudian tular kepada umum pada malam 8 Sept. Ismail berkata dia telah membuat laporan polis pada 8 Sept dan pada keesokan harinya mengeluarkan kenyataan mendakwa dokumen berkenaan ditandatanganinya tanpa rela hati dan secara paksaan, selain sekali lagi menzahirkan sokongan serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pada 15 Sept, mesyuarat Exco yang dipengerusikan Ismail membuat keputusan untuk mengiktiraf Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar, dan selepas itu Ismail kekal dengan pendirian berkenaan.
Pada 21 Sept, Istana Negeri Sembilan mengumumkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 exco berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa memungkiri sumpah jawatan, merujuk Perkara XXXVIII(5) yang memperuntukkan bahawa seseorang ahli Exco memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.
Menteri Besar diminta mengemukakan senarai calon baru untuk perkenan baginda, manakala Ismail kekal sebagai menteri besar.
Ismail kemudian menolak pembatalan itu dan menyifatkannya tidak berperlembagaan, dengan hujah bahawa kuasa memecat exco secara sepihak tidak terletak pada institusi berkenaan.
Dia turut meminta pihak berkuasa mempertimbangkan semula arahan yang melarang bekas exco terbabit memasuki pejabat dan menjalankan tugas.
Pembatalan itu kemudian diwartakan pada 24 Sept. Warta itu menyatakan pembatalan berkuat kuasa pada 20 Sept kerana pelanggaran ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar.
Sepuluh bekas exco terbabit terdiri daripada wakil Umno, MCA, PAS dan Parti Wawasan.
/file/attachments/orphans/111111_761458.png)
