PARLIMEN l Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan komitmen bahawa sebanyak 30 peratus kuota bagi melanjutan pengajian atau kepakaran disediakan kepada pegawai perubatan di Sabah dan Sarawak.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mengambil langkah untuk merealisasikan perkara itu sebagai satu penegasan.

"Jadi, berbeza dengan persepsi bahawa peluang melanjutkan pengajian atau kepakaran terjejas apabila mereka berada di Sabah dan Sarawak, saya ingin membuat sedikit pengumuman di Kuala Lumpur.

"Ini merupakan komitmen saya untuk mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan para pegawai perubatan kita di Sabah dan Sarawak.

"Saya berbesar hati untuk memaklumkan dewan yang mulia ini bahawa saya mengarahkan KKM untuk meneliti dan seterusnya melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

"Pada hari ini, kita mempunyai 1,650 tempat bagi Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Lebih kurang 30 peratus, iaitu sekitar 500 tempat, akan dikhususkan kepada mereka yang berada di Sabah dan Sarawak," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dzulkefly (PH - Kuala Selangor) berkata demikian sebagai sebahagian jawapan kepada soalan dikemukan Suhaizan Kaiat (PH - Pulai) berhubung kegagalan pegawai perubatan melaporkan diri untuk bertugas di Sabah dan Sarawak, punca dan langkah KKM untuk mengatasinya.

Beliau turut menjelaskan status terkini pelantikan tetap pegawai perubatan dengan 337 pegawai perubatan yang melapor diri di Sarawak daripada 527 orang yang ditawarkan, manakala di Sabah adalah 336 orang daripada 528 orang yang ditawarkan.

"Secara keseluruhannya, peratusan pegawai perubatan yang melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah 63 peratus daripada jumlah penempatan yang ditawarkan.

"Meskipun terdapat sedikit peningkatan berbanding 2025, apabila 42 peratus pegawai tidak melapor diri, kadar kali ini menurun sebanyak lima peratus. Namun, saya tidak berasa selesa dengan prestasi yang menunjukkan sedikit peningkatan.

"Antara alasan menolak tawaran lantikan tetap adalah faktor berjauhan dengan keluarga dan pegawai tidak bersedia untuk bertukar serta berkhidmat di kawasan luar bandar," katanya.

Terdahulu portal kesihatan CodeBlue melaporkan berpuluh-puluh pegawai perubatan gagal melaporkan diri untuk bertugas bagi jawatan tetap di pelbagai hospital dan klinik kerajaan di Sabah dan Sarawak.

Laporan tersebut memetik doktor-doktor kerajaan menyatakan sama ada tiada pegawai perubahan yang melaporkan diri atau jumlah yang hadir adalah kurang daripada bilangan penempatan yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, antara punca lain adalah pegawai lebih berminat untuk bertugas di fasiliti kesihatan di kawasan bandar, berpandangan bahawa mereka tidak mempunyai peluang kerjaya yang baik sekiranya berkhidmat di luar bandar dan pedalaman.

"Selain itu pegawai ingin menjaga ibu bapa dan adik-beradik serta berada berdekatan dengan pasangan.

"Seterusnya, terdapat pegawai yang mempunyai masalah kesihatan, selain menghadapi masalah logistik, kewangan, peribadi serta kos perpindahan yang tinggi.

"Terdapat juga persepsi bahawa peluang melanjutkan pengajian kepakaran adalah kurang sekiranya ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Akhir sekali, terdapat kerisauan mengenai hala tuju kerjaya dan peluang untuk bertukar semula ke Semenanjung atau wilayah asal mereka," jelasnya.

Dalam perkembangan itu Dzulkefly turut memberi gambaran ada sinar dan harapan dalam isu penamatkan jawatan doktor kontrak, namun semua pihak perlu bersabar.

Katanya, walaupun pengumuman akan dibuat perdana menteri dalam waktu terdekat, dia mengharapkan apa yang dihasratkan sejak awal kembali mengemudi KKM kali kedua, iaitu untuk menamatkan perkhidmatan kontrak ini.

"Perkara ini pun dipertimbangkan. Mungkin kita perlu sedikit bersabar menanti pengumuman yang bakal dibuat. Apa yang mustahak untuk saya sebutkan adalah bagaimana kita mengangkat permohonan-permohonan berkaitan, termasuk hal Bantuan Insentif Wilayah (BIW) dan sebagainya.

"Ada sinar dan harapan dalam pembentangan bajet akan datang ini. Jadi, saya kira kita perlu sedikit bersabar. Terutama tentang hal yang berkaitan dengan pelajar, saya perhatikan bahawa kita memberikan keutamaan kepada pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak serta universiti-universiti tempatan di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.