Anggota Parlimen Beluran Ronald Kiandee mendakwa akta antilompat parti bukan sahaja gagal menghalang wakil rakyat yang beralih ke pihak kerajaan, tetapi turut menganiayai mereka yang digantung keahliannya oleh parti.

Berucap ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Ronald berkata akta itu perlu ditambah baik kerana ia jelas tidak menghalang mereka yang melompat ke pihak kerajaan.


"Akta anti lompat ini perlu ditambahbaik. Ia jelas tidak menghalang mereka yang melompat ke sana (pihak kerajaan). Begitu juga anti lompat menganiaya orang-orang seperti saya. Ada ramai lagi seperti saya di sini yang digantung oleh parti disebabkan akta anti lompat.

"Tidak boleh ke sana ke sini, tidak boleh membuat perhitungan politik yang baru, kita dalam keadaan yang serba salah. Parti tidak endahkan kita, tetapi kita tak boleh ke depan untuk mencorak jajaran politik kita sendiri.

"Maknanya akta antilompat bukan sahaja tidak dapat menghalang yang lompat, tetapi juga menganiayai kami yang dianiaya oleh parti. Jadi, ia tidak memenuhi tujuannya. Sebab itu ahli-ahli parlimen kerajaan dan kerajaan yang memerintah sekarang harus melakukan sesuatu," katanya.

Ronald bekas naib presiden Bersatu yang kini digantung enam tahun oleh Bersatu turut memberi amaran bahawa anggota parlimen kerajaan akan mengeluh seperti yang dihadapinya sekarang sekiranya berlaku pertukaran kerajaan.

Pada Januari 2024, enam anggota parlimen Bersatu mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa keluar parti.

Daripada kiri atas, Zahari Kechik, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Suhaili Abdul Rahman, Mohd Azizi Abu Naim dan Dzulkafperi Hanapi

Mereka ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Bersatu kemudian meminda perlembagaannya dan mahu enam kerusi itu dikosongkan.

Namun, akta antilompat tidak mempunyai peruntukan untuk menangani tindakan sedemikian kerana ia hanya terpakai kepada anggota parlimen yang keluar parti.

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kemudian menetapkan duluan bahawa akta itu tidak terpakai kepada mereka.

Pada 13 Februari lalu, Bersatu memecat timbalan presidennya Hamzah Zainudin yang kini menerajui Parti Wawasan Negara bersama 16 lagi pemimpin dan anggota parlimen berdasarkan fasal 9.1.4 perlembagaan parti, ketika perebutan kuasa dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.

Pada Mac, lembaga disiplin parti menggantung Ronald, bersama Anggota Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin selama dua penggal kerana melanggar fasal yang sama.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu antara anggota parlimen yang menyokong Hamzah dan mempersoalkan mengapa dia hanya digantung dan tidak dipecat. Hamzah kemudian mendakwa mendapat sokongan 18 anggota parlimen pembangkang, termasuk yang dipecat atau digantung Bersatu.

Akta antilompat parti, iaitu Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 dengan 209 undi menyokong dan 11 anggota parlimen tidak hadir.

Di bawah undang-undang itu, anggota parlimen yang dipecat parti tidak kehilangan kerusi, begitu juga jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.