Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Umno dikritik isu kaum Cina 'menumpang'
Diterbitkan:  Aug 28, 2008 4:43 AM
Dikemaskini: 10:41 AM

Kenyataan seorang ketua bahagian Umno di Pulau Pinang yang menyifatkan Cina sebagai kaum "penumpang" di negara ini mencetuskan kemarahan MCA dan DAP.

Ketua Pemuda MCA Wilayah Persekutuan, Hang Chin Pheng bersama lebih kurang 50 penyokongnya pagi ini berkumpul di ibu pejabat parti itu Wisma MCA di Jalan Ampang bagi mengutip tandatangan bantahan.

Kenyataan Datuk Ahmad Ismail, ketua bahagian Bukit Bendera, hujung minggu lalu dilaporkan dikeluarkan sewaktu mengkritik ketua menteri Lim Guan Eng berhubung Dasar Ekonomi Baru.

Menurut risalah yang diedarkan oleh sekumpulan ahli MCA itu, Ahmad dipetikkan oleh akhbar Sin Chew Daily sebagai mempertikaikan keupayaan kaum Cina mengagih-agihkan sumber kekayaan negara dengan saksama kepada semua kaum.

Sehubungan itu, mereka menuntut Ahmad menarik balik kenyataan tersebut dan mendesak Umno mengambil tindakan disiplin terhadap ketua bahagian tersebut.

Sementara DAP bahagian Tanjung, Pulau Pinang berkata ia "tidak dapat berkompromi dengan kenyataan berbau diskriminasi perkauman yang dikeluarkan oleh ahli-ahli politik yang tidak bertanggungjawab".

Timbalan pengerusinya Ng Wei Aik berkata DAP mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan ketua bahagian Umno itu dan mendesaknya memohon maaf.

"Walaupun tema bagi perayaan kemerdekaan ke-51 adalah 'Perpaduan Teras Kejayaan,' namun kenyataan Ahmad sedemikian tidak dapat memupuk semangat perpaduan nasional, malah akan menjerumuskan hubungan perkauman yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.

"Kita sememangnya anak Malaysia yang dilahirkan, dibesarkan dan bersedia untuk korban di tanahair kita.

"Taat setia setiap kaum di Malaysia terhadap negara kita tidak dapatlah dipertikaikan."

ADS