Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 Nov ini perlu membina jentera kempen yang mantap dan tidak hanya bergantung pada rekod khidmat masyarakat bagi meraih sokongan pengundi.

Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan berkata rekod cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat tidak memadai sekiranya calon tidak mempunyai pasukan yang mampu membantu menggerakkan kempen secara berkesan.

Beliau berkata jentera yang kuat penting bagi memastikan calon dapat mendekati pengundi di pelbagai lokasi, memandangkan mereka tidak mampu berada di semua tempat pada masa yang sama.

“Perkara ini adalah pandangan peribadi saya iaitu calon perlukan jentera yang kuat. Apabila berkempen, kita tidak boleh berada di 10 tempat pada masa yang sama.

“Jadi calon perlu mula membentuk pasukan besar dan mantap untuk membantu menggerakkan kempen di pelbagai lokasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Siri Jelajah ‘Pocket Talk’ HRD Corp – Dari Dasar ke Rakyat di Alor Gajah hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shamir Aziz.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata calon perlu mengubah pendekatan lama yang hanya bergantung pada usaha sendiri tanpa membina jentera sokongan, sebaliknya menyesuaikan diri dengan cabaran politik semasa.

Ramanan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan memilih calon yang rajin turun padang, menyantuni rakyat dan diterima masyarakat.

Beliau berkata pemilihan calon PH turut mengambil kira aspek kredibiliti, termasuk melalui proses tapisan ketat yang melibatkan semakan rekod jenayah dan kedudukan kewangan bagi memastikan calon memenuhi kriteria ditetapkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Okt sebagai hari penamaan calon, 10 Nov bagi pengundian awal dan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka.

PRN Melaka pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.

– Bernama