'PM sendiri ada pengalaman penjara' - LFL gesa PM selesai masalah air Penjara Kajang
Lawyers for Liberty (LFL) menyatakan kebimbangan serta rasa tidak puas hati dengan penjelasan Jabatan Penjara Malaysia berhubung gangguan bekalan air serta masalah sanitasi dan kebersihan makanan di Penjara Kajang, sambil menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu secara tuntas.
Dalam satu kenyataan pagi ini, Penyelaras Komunikasi LFL, Thiruna Jayshan Jaya Kumar menyatakan kekecewaan isu berkenaan berlarutan di bawah pentadbiran Anwar sebagai seorang perdana menteri yang pernah merasakan sendiri menjadi penghuni penjara.
"Anwar bertahun-tahun di penjara dan merasakan sendiri keadaan penjara yang tak boleh diterima.
"Anwar perlu membuktikan agenda pembaharuannya dengan masuk campur dan selesaikan masalah ini," kata LFL.
Anwar menjadi penghuni Penjara Sungai Buloh September 1998 hingga September 2004 atas sabitan kesalahan salah guna kuasa.
Pada 2015, Anwar sekali lagi dihantar ke penjara itu selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas kes liwat, sebelum dibebaskan pada 2018 susulan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.
LFL mengulas kenyataan Jabatan Penjara pada 15 Oktober yang disifatkan tidak memadai kerana isu berkenaan didakwa berlarutan selama bertahun-tahun tanpa penyelesaian berkekalan.
Katanya, orang ramai memerlukan jawapan jelas, pihak yang bertanggungjawab serta tindakan konkrit, bukannya sekadar jaminan bahawa penambahbaikan segera akan diberi keutamaan.
“Kami terkejut dan kecewa dengan maklum balas yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia pada 15 Oktober 2026 berhubung dakwaan gangguan bekalan air serta kekurangan dari segi sanitasi dan penyediaan makanan di Penjara Kajang.
“Kenyataan jabatan itu sama sekali tidak memadai. Ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan tidak banyak meyakinkan orang ramai bahawa kebajikan serta keperluan asas kemanusiaan banduan dilindungi sewajarnya.
“Mengapa jabatan itu memberikan maklum balas seolah-olah kebimbangan ini perkara baru, sedangkan aduan mengenai keadaan di Penjara Kajang telah berlarutan selama bertahun-tahun? Orang ramai tidak memerlukan satu lagi janji penambahbaikan. Mereka memerlukan jawapan, akauntabiliti dan tindakan konkrit,” katanya.
Jabatan Penjara sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya akan meneliti dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung gangguan bekalan air, kemudahan kebersihan dan penyediaan makanan yang berlaku di Penjara Kajang.
Jabatan Penjara dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan tindakan itu dibuat bagi mengenal pasti keadaan sebenar serta memastikan perkara berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.
Ia menegaskan penambahbaikan segera akan diberikan keutamaan untuk menangani sebarang kekurangan yang dikenal pasti, khususnya berkaitan kemudahan asas, kebersihan dan kebajikan penghuni.
Jabatan itu juga meminta orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung perkara itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran awam serta merujuk kepada saluran rasmi Jabatan Penjara Malaysia untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat.
'Bukan buat spekulasi'
Sementara itu, mengulas lanjut, Thiruna berkata LFL menuntut siasatan awam bebas diadakan mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi meneliti keadaan di Penjara Kajang.
Menurut Thiruna, siasatan itu perlu meneliti rekod aduan berkaitan bekalan dan kualiti air, sanitasi, kebersihan makanan serta kecukupan kemudahan asas, selain menentukan punca masalah berlarutan dan sama ada pihak berkuasa berkaitan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
LFL turut menggesa supaya langkah pencegahan yang berkesan dilaksanakan segera bagi mengelakkan masalah sama berulang, manakala hasil dan syor siasatan perlu didedahkan kepada umum.
Thiruna juga mempersoalkan tindakan jabatan itu yang meminta orang ramai mengelak daripada membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak disahkan, dengan menyifatkannya sebagai usaha menghalang persoalan berhubung isu berkepentingan awam.
“Kami bukan membuat spekulasi. Kami menuntut jawapan,” katanya.
Dia berkata keadaan penjara tidak sepatutnya dianggap sebagai perkara peribadi yang terlepas daripada penelitian awam kerana layanan terhadap individu yang kehilangan kebebasan merupakan isu berkepentingan awam.
Tambahnya, tiada individu sepatutnya dinafikan akses mencukupi kepada air bersih, sanitasi dan makanan yang bersih hanya kerana mereka berada di sebalik tembok penjara.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/85df72b92acd986c3dba81677c9e7270.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.