Kementerian Zahid dapat RM500 juta tampung belanja lebih dari bajet
Kementerian Kewangan mendedahkan pihaknya memberikan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi menambah peruntukan RM2.1 bilion kementerian itu untuk menampung perbelanjaan yang melebihi bajet tahun ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), wang itu dikumpulkan daripada penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain.
“Dalam usaha untuk mengurangkan tunggakan bayaran, KKDW mengambil tindakan mengagihkan peruntukan Peberlanjaan Pembangunan (DE) sedia ada daripada projek lain melalui Notice of Change (NOC) dalaman untuk menampung keperluan projek luar bandar,” kata MOF.
Selain itu, KKDW yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi turut diberikan peruntukan lebih besar, iaitu RM2.27 bilion, bagi memulakan tahun 2027.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/11/99dcf390a402d59a4c385f087caa5034.jpg)
Perkara itu didedahkan bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan untuk memastikan KKDW dipertanggungjawabkan kerana berbelanja melebihi peruntukan.
Dalam jawapan bertulis bertarikh semalam, Kementerian Kewangan menjelaskan pihaknya bukan sekadar menambah dana untuk menangani masalah itu, yang berpunca daripada projek jalan luar bandar.
Sebaliknya, pada 10 Sept lalu, kementerian itu mengarahkan KKDW menangguhkan pengeluaran surat setuju terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar supaya tidak menambah tunggakan bayaran yang sedang dihadapinya.
KKDW turut diarahkan menyediakan unjuran keperluan projek jalan luar bandar bagi baki tahun 2026 serta tahun 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan, bagi menentukan jumlah peruntukan yang diperlukan.
Bulan lalu, Zahid mengadu ramai kontraktor sudah menyiapkan projek dan mencapai tahap kemajuan yang ditetapkan, tetapi masih belum menerima bayaran. Malah, ada yang terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai yang timbul.
Dia menggesa Kementerian Kewangan mempercepat bayaran.
Sebagai maklum balas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW, yang sudah disalurkan sepenuhnya.
Dia turut menyifatkan KKDW sebagai kerap berbelanja melebihi peruntukan dan berkata Kementerian Kewangan sedang mengenal pasti penjimatan di kementerian lain bagi menampung lebihan perbelanjaan itu.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/da94dedb3320580e73dc9b8bf81ad00e.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.