Kementerian Kewangan (MOF) menghentikan kelulusan penggunaan kaedah Tender Terbuka Pra-Kelayakan Terpilih (TTPKT) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek baharu susulan penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bil 2/2025.

Kementerian itu memaklumkan kaedah TTPKT diperkenalkan pada 2023 sebagai tatacara khas bagi mempercepat pelaksanaan projek berimpak tinggi kepada rakyat dan diteruskan sehingga 30 Jun 2025 dengan beberapa penambahbaikan bagi memperkukuh tadbir urus perolehan kerajaan.

“Namun, Laporan Ketua Audit Negara Bil 2/2025 mendapati kaedah TTPKT yang dilaksanakan, termasuk di KKDW tidak mencapai objektif asal kerajaan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.

Kementerian itu menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai tindakan terhadap pihak bertanggungjawab dalam KKDW yang membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion antara 2023 hingga 2025 serta sama ada kontraktor terbabit dipilih menerusi tender terbuka.

Menurut MOF, pemilihan kontraktor bagi Program Jalan Luar Bandar di bawah KKDW secara amnya dilaksanakan menerusi kaedah tender, termasuk tender terbuka dan TTPKT.

Mengenai isu perbelanjaan, kementerian itu memaklumkan KKDW sejak beberapa tahun lepas membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan asal yang diluluskan dalam belanjawan tahunan bagi projek jalan luar bandar sehingga menyebabkan tunggakan serta kelewatan bayaran kepada kontraktor.

Bagi mengelakkan tunggakan terus meningkat, MOF mengambil langkah tambahan termasuk mengarahkan KKDW menangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu bagi projek jalan luar bandar pada 10 Sept lepas.

Kementerian itu turut meluluskan perbelanjaan tambahan RM500 juta bagi 2026 menerusi Surat Kebenaran Berbelanja Melebihi Peruntukan selepas mengenal pasti penjimatan perbelanjaan pembangunan daripada kementerian lain.

Selain itu, MOF turut meminta KKDW menyediakan unjuran keperluan peruntukan projek jalan luar bandar sehingga akhir 2026 dan bagi 2027 berdasarkan kontrak yang telah dianugerahkan bagi menentukan tambahan peruntukan diperlukan.

Menurut MOF, peruntukan asal yang diluluskan dalam belanjawan tahunan untuk jalan luar bandar pada 2023 adalah sebanyak RM1.09 bilion, 2024 (RM1.32 bilion) dan 2025 (RM1.57 bilion).

“Dalam usaha untuk mengurangkan tunggakan bayaran, KKDW mengambil tindakan mengagihkan peruntukan Peberlanjaan Pembangunan (DE) sedia ada daripada projek lain melalui Notice of Change (NOC) dalaman untuk menampung keperluan projek luar bandar,” menurut MOF.

Melalui langkah itu, MOF berkata peruntukan dipinda kepada RM1.85 bilion pada 2023, 2024 (RM2.02 bilion) dan 2025 (RM2.27 bilion), namun jumlah berkenaan masih tidak mencukupi bagi menampung komitmen projek kementerian tersebut.

Ke arah menyelesaikan isu itu, MOF bersetuju untuk meningkatkan peruntukan projek luar bandar kepada RM2.11 bilion pada 2026 dan RM2.27 bilion pada 2027.

Sementara itu, kementerian berkenaan memaklumkan bagi 2026, peruntukan yang dipinda berjumlah RM2.40 bilion dengan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion direkodkan setakat 31 Ogos lepas.

- Bernama