Aktivis pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan yang dikenali sebagai Abbe Hae menyerahkan kepada Polis Kelantan untuk menjalankan siasatan berhubung tindakan kumpulannya yang menerjah sebuah kedai yang didakwa menggaji warga asing, Jumaat lalu.

Susulan tindakan itu, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan bersama 15 individu lain yang menggempur kawasan warga asing dan etnik Rohingya di Kota Bharu itu, ditangkap dan di tahan.

Bercakap menerusi audio siar Merah Podcast, malam tadi, Abbe Hae menegaskan dia tidak pernah menyalahkan pihak polis tetapi sebaliknya akur dengan tangkapan berkenaan memandangkan ada pihak yang membuat laporan terhadap mereka.

"Walaupun saya ditahan dan bermalam di lokap, namun saya tidak pernah menyalahkan pihak polis kerana kita perlu mengikut prosedur undang-undang.

"Saya juga terbuka untuk siasatan kerana saya seorang yang menghormati undang-undang dan pada masa sama saya meminta masyarakat tidak menyalahkan pihak berkuasa berhubung isu ini,

"Saya kini menunggu siasatan yang dijalankan pihak polis. Saya yakin siasatan dijalankan dengan telus," katanya.

Abbe Hae juga menjelaskan, setiap kali dia dan ahlinya turun ke lapangan, dia tidak pernah membuat sebarang provokasi atau melakukan sebarang sentuhan serta memegang sebarang dokumen milik komuniti Rohingya atau warga asing.

"Begitu juga ketika rondaan dilakukan di sekitar bandar Kota Bharu pada Jumaat lalu, namun ada yang tampil membuat laporan polis kepada saya dan kumpulan sehingga kami ditahan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Abbe Hae bersama 15 individu lain ditahan ketika tampil memberi keterangan di IPD Kota Bharu, Sabtu lalu.

Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan jam 12 tengah hari kelmarin.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat mengingatkan semua aktivis yang memperjuangkan isu berkaitan komuniti pelarian Myanmar perlu memahami undang-undang dan bidang kuasa agensi penguat kuasa sebelum mengambil tindakan sendiri.

Katanya, walaupun sesuatu tindakan itu didorong niat yang baik, kekurangan pemahaman undang-undang boleh menimbulkan masalah lain, termasuk apabila aktiviti yang dianjurkan menarik kehadiran orang ramai sehingga sukar dikawal.

Mohd Yusoff Mamat

“Niat dia (aktivis) mungkin betul tetapi sebenarnya isu kejahilan undang-undang itu sendiri. Kumpulan aktivis ini jahil undang-undang, mereka tidak faham undang-undang,” katanya yang dipetik Bernama di Kota Bharu hari ini.

Dia berkata isu pengurusan pelarian Myanmar bukan perkara baharu, sebaliknya dibincangkan kerajaan sejak berpuluh tahun lepas, justeru penyelesaiannya perlu ditangani melalui pendekatan yang bersesuaian.

Menurut Mohd Yusoff, penghantaran pulang komuniti berkenaan bukan perkara mudah berikutan isu penerimaan mereka oleh negara asal atau negara lain manakala pengurusan pelarian memerlukan pertimbangan kerajaan serta hubungan antarabangsa.

Beliau ketika mengulas mengenai siasatan berkaitan sekumpulan aktivis media sosial yang menganjurkan aktiviti melibatkan komuniti pelarian Myanmar berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Mohd Yusoff berkata kumpulan penganjur yang dianggarkan terdiri daripada 14 hingga 16 orang menguar-uarkan aktiviti berkenaan melalui media sosial sehingga menarik kehadiran orang ramai yang dianggarkan mencecah hampir 100 orang.

“Keadaan itu menyukarkan kawalan terhadap orang ramai, selain terdapat kejadian samun membabitkan seorang individu daripada komuniti pelarian Myanmar yang dipercayai dilakukan pihak lain yang turut hadir. Kerugian dalam kejadian samun di Jalan Dato' Pati di Kota Bharu melibatkan rantai emas bernilai lebih RM1,000.

“Satu kes pecah rumah di Tanah Merah membabitkan kehilangan 12 jam tangan, namun butiran lanjut mengenai kes berkenaan akan diberikan kemudian,” katanya.

Mohd Yusoff berkata polis turut merampas telefon bimbit individu berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang boleh membantu siasatan.

Beliau berkata tindakan polis dibuat berdasarkan laporan yang diterima dan hasil siasatan manakala prosedur seperti pengambilan cap jari serta kawad cam adalah sebahagian daripada proses siasatan mengikut keperluan kes.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan aduan berkaitan kesalahan mengikut bidang kuasa agensi masing-masing, termasuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi isu imigresen dan pihak berkuasa tempatan bagi kesalahan berkaitan perniagaan atau premis.

Mengenai komuniti pelarian Myanmar di Kelantan, beliau berkata terdapat kira-kira 8,021 orang di negeri itu dan pihak polis menjalankan pemantauan melalui risikan di setiap daerah.

Mohd Yusoff turut menyentuh cadangan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), yang menurutnya membolehkan pelarian didaftarkan dan dikenal pasti melalui kaedah biometrik, termasuk cap jari, bagi memudahkan pengenalpastian sekiranya berlaku kesalahan jenayah.

Beliau bagaimanapun berkata isu berkenaan perlu ditangani melalui pendekatan kerajaan dan kerjasama agensi berkaitan, bukannya tindakan sendiri oleh mana-mana kumpulan.