Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan perincian mengenai krisis kewangan yang dihadapi Zetrix AI Bhd, atas dasar perkara itu melibatkan kepentingan awam yang signifikan.

Pemimpin Bersama itu menegaskan bahawa tiada ahli parlimen atau parti politik yang memberi tumpuan mengenai implikasi kejatuhan saham Zetrix kepada kepentingan awam.

Zetrix sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Sdn Bhd.

Rafizi Ramli

Bekas menteri ekonomi itu berkata, perkara ini berlaku walaupun "sejumlah besar" saham syarikat berkenaan dipegang oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), serta Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Berdasarkan maklumat awam yang diperolehi dari laporan-laporan kewangan yang boleh diakses orang ramai, Rafiz berkata KWSP dan UJSB masing-masing memegang 67.6 juta dan 211.5 juta saham setakat 1 April, manakala KWAP memegang 390 juta pegangan saham setakat 2 Oktober tahun lalu.

Meskipun pegangan saham terkini dana awam berkenaan belum diketahui buat masa ini sementara menunggu pemuktamadan laporan tahunan Zetrix AI bagi tahun kewangan 2025, Rafizi menegaskan bahawa pegangan yang diketahui setakat ini menimbulkan kebimbangan mengenai potensi kerugian.

“Mengikut pelaporan kewangan Zetrix sendiri, harga penutup sahamnya pada 1 April adalah 75.5 sen sesaham. Pada 19 Oktober 2026, harga sahamnya telah jatuh kepada 5 sen sesaham, iaitu penyusutan mendadak sebanyak 93.4 peratus dalam tempoh enam bulan (terutamanya kejatuhan yang bermula pada 28 Ogos 2026 ).

“Sekiranya ketiga-tiga dana awam ini masih memegang saham Zetrix ketika kejatuhan mendadak berlaku pada 28 Ogos 2026, besar kemungkinan mereka terlepas peluang untuk menghadkan kerugian dan terpaksa terus memegang hingga sekarang,” kata Rafizi.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia memberi amaran bahawa sekiranya perkara di atas terbukti benar, KWSP, KWAP dan UJSB berdepan potensi kerugian sebanyak RM472 juta, berdasarkan penurunan 70.5 sen sesaham.

Sehubungan itu, dia menegaskan bahawa sebagai "jaguh tata kelola negara," Anwar perlu menjelaskan berapa banyak saham yang dipegang oleh KWSP, KWAP, UJSB, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain seperti Maybank, CIMB dan lain-lain pada 1 April.

Sambil menegaskan bahawa pendedahan itu perlu bagi menentukan sejauh mana pendedahan dana awam terhadap krisis kewangan Zetrix AI, Rafizi turut meminta maklumat mengenai berapa banyak saham yang masih dipegang oleh entiti berkaitan kerajaan itu hingga ke hari ini.

“Berapa kerugian atas kertas bagi saham-saham yang masih dipegang dan berapa kerugian yang telah ditanggung bagi saham-saham yang telah dijual antara 1 April hingga 20 Oktober, berbanding harga pembelian asal?” soalnya.

Saham Zetrix AI jatuh sebanyak 50 peratus pada akhir Ogos ketika khabar angin bertiup bahawa ia dikaitkan dengan pertuduhan rasuah bekas menteri sumber manusia M Saravanan berhubung kelulusan kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat tempatan pada 2022. Zetrix menafikan kaitan sedemikian.

Pada masa yang sama, saham penyedia perkhidmatan teknologi HeiTech Padu Bhd, yang dipegang 16.9 peratus oleh Zetrix AI secara tidak langsung melalui unit milikan penuhnya MY EG Capital Sdn Bhd, turut merosot sebanyak 30 peratus.

Zetrix AI kemudiannya mengumumkan penarikannya daripada HeiTech Padu melalui transaksi perniagaan terus pada 2 September, apabila MY EG Capital menjual pegangannya yang merangkumi 27.5 juta saham.

Susulan penarikan keluar Zetrix AI, pemegang saham terbesar HeiTech Padu ialah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang memegang 23.6 peratus pegangan melalui syarikat peribadinya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi menunjukkan bahawa penarikan keluar itu menimbulkan persoalan mengenai pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), yang HeiTech Padu dianugerahkan kontrak bernilai RM1.05 bilion untuk membangunkannya pada 2024.

Dia mengimbas kembali bahawa apabila HeiTech Padu memenangi kontrak berkenaan, dua pemegang saham terbesarnya ialah Rosetta Partners, yang dikawal bersama oleh Sultan Kelantan dan ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador, serta Zetrix AI.

HeiTech Padu, kata Rafizi, turut mengumumkan bahawa Zetrix AI ialah rakan teknologi mereka dan akan membangunkan bersama teknologi yang digunakan dalam NIISe.

Justeru, dia menggesa Anwar menyatakan syarikat mana yang menyediakan teknologi bagi NIISe susulan pelupusan pegangan Zetrix AI dalam HeiTech Padu, dan apakah implikasinya terhadap pelaksanaan projek keselamatan negara ini.

Farhash, bekas pembantu politik kepada Anwar, berhenti menjadi pemegang saham utama HeiTech Padu sebulan selepas memperoleh 15.9 peratus pegangan melalui Rosetta Partners.

Pada 15 Oktober, HeiTech Padu mengumumkan bahawa ia memperoleh lanjutan kontrak bernilai RM19.87 juta daripada Jabatan Imigresen untuk terus menyelenggara Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi tempoh dua tahun lagi.

Menurut makluman kepada bursa, kontrak berkenaan akan berlangsung dari 18 Februari 2027 hingga 17 Februari 2029.

Lanjutan itu dibuat ketika Malaysia berusaha ke arah melaksanakan NIISe, yang bertujuan menggantikan MyIMMs yang digunakan sebagai platform imigresen negara sejak 1993.

Juga pada Oktober, polis membuka kertas siasatan terhadap Zetrix AI dan MyEG atas dakwaan kegagalan menyerahkan kutipan hasil kerajaan, dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata bahawa syarikat-syarikat tersebut gagal menyerahkan RM314 juta hasil yang dikutip antara 19 Mei dan 30 September kepada kerajaan.

Loke menambah bahawa perkhidmatan kutipan MyEG dan Zetrix AI digantung selepas syarikat berkenaan gagal menyelesaikan jumlah tunggakan tersebut walaupun menerima 35 peringatan dan berurusan dengan pihak berkuasa sejak Mei.

Selama lebih dua dekad, Zetrix AI menyediakan perkhidmatan dalam talian yang dikaitkan dengan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk mengutip hasil kerajaan bagi pihak jabatan berkenaan serta mengenakan caj bayaran kemudahan dan bayaran penghantaran.