Isu eFishery: Anwar akui pelaburan Indonesia KWAP ikut trend antarabangsa
PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui wujud kelemahan dalam proses kebenaran wajar (due diligence) berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke dalam syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Anwar berkata pasukan pelaburan bergantung kepada penyertaan pemain utama antarabangsa, termasuk institusi dari Jepun dan Eropah, dalam penilaiannya.
“Dalam pelaburan di Jakarta yang baru-baru ini, itu memang satu kelemahan besar kerana mereka hanya ikut trend antarabangsa,” katanya di Dewan Rakyat semasa Waktu Pertanyaan Menteri pagi ini.
“Cuma dalam kes ini, dia rasa oleh kerana bergantung pada SoftBank (syarikat pegangan pelaburan multinasional Jepun) dengan beranggapan tak mungkin SoftBank melabur dengan begitu cuai,” tambahnya.
Dia menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanyakan langkah yang diambil kerajaan untuk mempertanggungjawabkan kerugian tersebut serta memperketat prosedur kebenaran wajar bagi memastikan dana awam dilaburkan secara berhemah.
Anwar mengakui keperluan kawalan yang lebih ketat, sambil menambah bahawa kerajaan akan memperketat peraturan dan penelitian pelaburan.
Dia turut memaklumkan bahawa KWAP terus mencatatkan pulangan keseluruhan yang kukuh dan baru-baru ini mencapai prestasi rekod tertinggi.
Pada Julai 2023, KWAP melabur RM163.4 juta ke dalam eFishery. Syarikat itu kemudiannya terpalit dalam skandal penipuan kewangan yang melibatkan manipulasi pelaporan kewangannya.
Anwar juga mendedahkan bahawa kertas siasatan terdahulu berhubung dakwaan salah guna kuasa di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dibuka sebelum ini, tetapi ditolak atau difailkan begitu sahaja.
Perkara ini dinyatakan selepas Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kemas kini mengenai siasatan terhadap dakwaan penyelewengan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan Felda serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC).
Fadhli mempersoalkan mengapa siasatan terhadap transaksi bertarikh dari 2010 hingga 2020 hanya baru-baru ini membawa kepada pendakwaan.
Dia turut membangkitkan persoalan sama mengenai tempoh masa pendakwaan yang melibatkan Lembaga Tabung Haji.
“Jadi, kenapa baru sekarang barulah berderet-deret atau terus menerus pendakwaan ini dilakukan? Ini membawa persepsi bahawa sebenarnya pendakwaan-pendakwaan ini dibuat semata-mata kerana berlakunya keretakan di kalangan parti-parti di dalam pentadbiran kerajaan,” katanya.
Kerajaan Persekutuan dibentuk oleh Barisan Nasional dan PH yang pernah menjadi seteru, kemudian rakan sekutu, dan kini berdepan ketegangan semula selepas BN Johor memutuskan untuk bertanding secara bersendirian pada pilihan raya negeri.
BN kini sedang mempertimbangkan kerjasama dengan blok pembangkang Perikatan Nasional sebagai sebahagian daripada usaha membina barisan bersatu politik Melayu-Islam.
Walau bagaimanapun, Anwar berkata satu kertas siasatan dibuka pada 2017, empat pada 2019, dan satu lagi pada 2020, dengan tindakan yang lebih serius hanya bermula selepas pasukan tugas khas ditubuhkan selepas 2022.
Dia menegaskan bahawa Lembaga Tabung Haji sendiri yang meminta kerajaan menangguhkan pelepasan laporan suruhanjaya siasatan diraja untuk memberi ruang kepada institusi itu pulih.
“Pada masa itu, saya kata tak apa kalau siasatan akan terus walaupun ditangguh dua tahun, tak ada masalah dan sekarang dia teruskan,” tambahnya.
Di samping itu, dia mengumumkan bahawa kerajaan sedang menyediakan Akta Syarikat Milik Negara bagi memperketat tatakelola dan pengawasan entiti milik kerajaan, dengan sasaran meluluskan rang undang-undang tersebut tahun ini.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/parlimen1sfsdf_669939.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.