Pembatalan pendaftaran PN seperti yang diumumkan hari ini menunjukkan suatu kegagalan persefahaman politik yang memalukan, kata Bersatu Pahang.

Timbalan pengerusinya, Jasri Jamaludin, menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai permulaan kepada proses kejatuhan PN.

Dia turut mendakwa krisis itu berpunca daripada percaturan politik dalam kalangan parti yang berada dalam gabungan tersebut.

"Perkembangan terbaru ini menimbulkan persoalan besar: adakah Presiden Wawasan, Hamzah Zainudin, dan PAS dalam keghairahan merebut kuasa dan pengaruh akhirnya menyumbang kepada kehancuran gabungan yang mereka sendiri mahu kuasai?" soalnya.

Dia yang juga Adun Kuala Sentul berkata demikian ketika ditanya Malaysiakini mengenai status PN yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini.

Terdahulu pagi tadi, ROS menerusi satu kenyataan memaklumkan mengenai pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu tidak dapat menyangkal asas pembatalan seperti dinyatakan dalam notis sebelum ini.

ROS berkata, keputusan itu dibuat Pendaftar Pertubuhan mengikut subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Jasri turut menggambarkan Wawasan yang diketuai bekas Timbalan Presiden Bersatu itu sudah tersilap langkah dan bakal 'bungkus' awal.

"Sebagai gabungan yang bercita-cita mentadbir negara, keputusan ROS ini amat memalukan PN.

"Perebutan kuasa, persaingan antara kem dan pertikaian kepimpinan mendedahkan betapa rapuhnya perpaduan mereka.

"Sama ada perkembangan ini disengajakan atau tidak, hakikatnya percaturan politik mereka kini mengancam kelangsungan PN sendiri," katanya.

Dia menambah, pemimpin PN terpaksa mempertimbangkan tindakan undang-undang sambil berdepan kerosakan yang berlaku dalam PN susulan perkembangan ini.

"Jadi, apa lagi yang boleh mereka lakukan? Terus menuding jari, meneruskan perebutan kuasa atau mengakui kesilapan yang membawa mereka ke tahap ini?

"Sebuah gabungan tidak boleh bercita-cita mentadbir negara jika mereka sendiri gagal mempertahankan kesatuan," ujarnya.

Dia berpandangan percaturan PN untuk menjadi kerajaan sedang berdepan laluan sukar sekiranya semua parti dalam gabungan itu gagal menyelesaikan persengketaan dan memulihkan segera keyakinan rakyat terhadap kemampuan mereka.