Tiada kuota lulus CLP, calon dinilai ikut merit - Kulasegaran
PARLIMEN l Tiada kuota kelulusan ditetapkan bagi peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), sebaliknya semua calon dinilai berdasarkan merit semata-mata, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Beliau berkata kelulusan peperiksaan profesional berkenaan ditentukan berdasarkan pencapaian calon dengan markah minimum ditetapkan bagi setiap mata pelajaran.
“Markah lulus bagi setiap mata pelajaran CLP ialah 40 markah sahaja dan tiada kuota lulus ditetapkan. Calon-calon dinilai berdasarkan merit semata-mata,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai pendekatan kerajaan menangani kadar kelulusan CLP yang rendah dengan hanya 19 peratus atau 158 daripada 826 calon lulus penuh pada 2026 berbanding 21 peratus pada 2025, selain memastikan standard dan kualiti profesion guaman terus terpelihara.
Mengulas perkara itu, Kulasegaran berkata statistik berkenaan hanya merangkumi keputusan peperiksaan CLP utama bagi 2026 dan belum mengambil kira keputusan peperiksaan tambahan yang dijadual berlangsung esok.
“Keputusan keseluruhan CLP pada 2026 hanya akan dikemukakan pada November 2026 selepas keputusan CLP tambahan 2026 diperoleh dan diluluskan oleh lembaga,” katanya.
Mengenai faktor kegagalan calon, Kulasegaran berkata majoriti yang menduduki peperiksaan berkenaan merupakan graduan undang-undang dari United Kingdom, Australia dan New Zealand yang mempelajari sistem common law di negara tersebut dan didapati tidak membuat persediaan sewajarnya untuk mempelajari undang-undang di Malaysia bagi menghadapi peperiksaan CLP itu.
Beliau berkata calon turut menghadapi kesukaran mengenal pasti isu perundangan dalam soalan peperiksaan, mengaplikasikan undang-undang kepada fakta serta mengemukakan kes undang-undang yang relevan bagi menyokong jawapan mereka.
Menjawab soalan asal Sivakumar mengenai struktur, kaedah penilaian, tempoh pengajian serta mekanisme peralihan daripada CLP kepada New Bar Course (NBC), Kulasegaran berkata Lembaga Kelayakan Profesyen Undang-Undang menubuhkan Pasukan Petugas NBC pada 27 April lepas.
Beliau berkata pasukan petugas itu bertanggungjawab menjalankan kajian bagi membangunkan kerangka operasi pelaksanaan NBC, termasuk memastikan perancangan peralihan kepada sistem kelayakan profesional guaman baharu berjalan lancar.
Kulasegaran berkata NBC yang bakal menggantikan CLP merangkumi dua program lebih komprehensif iaitu Conversion Course (CC) dan Legal Practice Postgraduate Certificate (LPPC), dengan penekanan terhadap kemahiran undang-undang praktikal serta kompetensi profesional.
Beliau berkata sistem CLP sedia ada hanya berasaskan peperiksaan bertulis tanpa penilaian menyeluruh terhadap kemahiran praktikal, selain calon tidak diwajibkan mengikuti kursus persediaan sebelum menduduki peperiksaan.
Mengenai mekanisme peralihan daripada CLP kepada NBC, beliau berkata Pasukan Petugas NBC sedang meneliti dasar berkaitan calon yang belum lulus peperiksaan sedia ada tetapi masih mempunyai baki percubaan dan tempoh pendaftaran sah bagi memastikan mereka tidak terjejas.
“Perkara ini akan ditimbangkan oleh lembaga kelayakan apabila kajian mekanisme peralihan tersebut diselesaikan oleh NBC Task Force,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai mekanisme semak dan imbang dalam penetapan kurikulum serta penilaian bakal peguam, Kulasegaran berkata sistem kelayakan profesional guaman akan diteruskan menerusi pendekatan dan kursus baharu yang ditambah baik.
Beliau berkata penambahbaikan itu mengambil kira aduan berkaitan sistem terdahulu, selain menekankan perbezaan antara pengajian akademik undang-undang dengan latihan profesional yang diperlukan untuk menjadi peguam.
Katanya pengajian akademik undang-undang di United Kingdom dan beberapa negara lain lazimnya mengambil masa tiga tahun, manakala pengajian di universiti tempatan mengambil masa empat tahun dengan komponen profesional diperkenalkan pada tahun keempat.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/1a8c4488dacede4ee6e39da22c1f6f65.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.