PARLIMEN | Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mencadangkan kerajaan memansuhkan pilihan hukuman denda di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan supaya pesalah yang disabitkan dikenakan hukuman penjara.

Peruntukan undang-undang itu berkaitan perbuatan membinasakan, merosakkan atau mencemarkan tempat ibadat atau objek suci.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, Prabakaran menjelaskan cadangannya supaya pesalah di bawah peruntukan berkenaan hanya dikenakan hukuman penjara.

“Jadi mana-mana pihak yang menggugat ketenteraman masyarakat tak perlu denda, penjarakan terus. (Ini) untuk kes keagamaan sahaja,” katanya.

Seksyen 295 Kanun Keseksaan (Akta 574) kini memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam perbahasannya, Prabakaran (Harapan-Batu) membangkitkan dakwaan pencerobohan sebuah kuil berhampiran Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Kuala Lumpur.

Walaupun tidak menyebut nama, dia dipercayai merujuk aktivis Tamim Dahri Abdul Razak, yang sebelum ini didakwa di mahkamah dalam kes merosakkan objek suci agama Hindu.

Prabakaran mendakwa individu sama dikaitkan dengan tiga kejadian, masing-masing di Langkawi, Rawang dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, dalam kejadian terbaru, individu berkenaan bersama abangnya didakwa menceroboh sebuah kuil dan memecahkan patung yang menjadi objek pemujaan penganut Hindu.

Dia menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan, sambil mendakwa perbuatan itu mencetuskan masalah keagamaan dan mempunyai agenda menghuru-harakan negara.

Didakwa dalam kes di Langkawi

Pada 21 Julai lalu, Tamim Dahri, 34, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Langkawi atas pertuduhan merosakkan objek suci agama Hindu di sebuah tapak kuil lama.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merosakkan tombak bercabang tiga atau “soolam”, dengan pengetahuan bahawa perbuatan memijak objek itu menghina agama Hindu.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin, selain menetapkan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah dan dia melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.

Dalam kes terbaru, Tamim Dahri bersama dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung empat patung yang dipecahkan di sebuah kuil di Jalan Klang Lama pada 6 Okt lalu.

Ketiga-tiga mereka ditahan di Beranang, Selangor, pada 11 Okt sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 14 Okt selepas tamat reman tiga hari.

Sementara itu, Prabakaran menegaskan isu kuil yang dibina tanpa kebenaran perlu ditangani pihak berkuasa, bukannya orang awam.

Dia turut menyifatkan perpaduan sebagai isu yang dekat di hatinya dan menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap perbuatan sedemikian.

“Apabila seorang individu telah buat satu perkara yang buruk sebegitu, saya nak kerajaan sangat tegas untuk ambil tindakan.

“Jangan bagi dia jamin ataupun mana-mana tindakan yang boleh merumitkan keadaan, terus dipenjarakan,” katanya di Dewan Rakyat.