Isu jerebu: Aktivis alam sekitar panjat tugu di Jakarta pasang sepanduk
Enam aktivis Greenpeace Indonesia memanjat sebuah tugu ikonik di Jakarta Pusat hari ini dan membentangkan sepanduk menuntut tindakan lebih tegas menangani krisis iklim, ketika tekanan diplomatik terhadap Indonesia untuk mengatasi jerebu rentas sempadan semakin meningkat.
Aktivis yang terdiri daripada dua wanita dan empat lelaki itu memanjat Tugu Selamat Datang di Bulatan Hotel Indonesia (HI) awal pagi tadi dan membentangkan sepanduk kuning besar mengenai krisis iklim serta peningkatan kos sara hidup.
Sepanduk itu tertera tuntutan “Tangani krisis iklim, turunkan biaya hidup” dan persoalan “Bencana makin parah, hidup makin susah. Apa kerja pemerintah?”
Protes itu bertepatan dengan ulang tahun kedua pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, ketika Indonesia semakin didesak memberi penjelasan mengenai kebakaran tanah dan hutan yang meluas sehingga menyebabkan jerebu di beberapa negara Asia Tenggara.
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest1asdad1_846617.png)
Dalam kenyataan, Greenpeace Indonesia berkata demonstrasi itu mengetengahkan kesan bencana alam sekitar yang semakin buruk, termasuk kebakaran hutan dan jerebu, terhadap rakyat Indonesia yang sudah bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.
Agensi berita rasmi Indonesia, Antara, melaporkan pihak berkuasa tempatan “memindahkan” enam aktivis itu dari tugu berkenaan selepas protes.
Aktivis dibawa ke ibu pejabat polis
Enam aktivis Greenpeace itu dilaporkan dibawa ke ibu pejabat Polis Metropolitan Jakarta selepas turun dari tugu berkenaan, setelah mengadakan protes selama beberapa jam.
Menurut portal berita Indonesia, Suara.com, peguam daripada Tim Advokasi untuk Demokrasi (TAUD) mengiringi aktivis terbabit selepas mereka dibawa pergi oleh polis.
/file/attachments/orphans/4534134532443_717397.png)
Peguam Lembaga Bantuan Hukum Jakarta (LBH Jakarta), Daniel Winarta, mengesahkan aktivis berkenaan selamat dan mendapat khidmat guaman.
Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada polis menahan mereka secara rasmi atau membuka siasatan jenayah.
Ketua Polis Jakarta Pusat Reynold EP Hutagalung memberitahu Antara bahawa aktivis itu dibawa ke sebuah kemudahan perubatan polis selepas seorang daripada wanita terbabit kelihatan lemah ketika turun dari tugu.
Wanita itu dilaporkan memerlukan bantuan oksigen, manakala polis menyediakan enam ambulans sebagai sebahagian daripada operasi membawa mereka turun.
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest1ads321asd_452560.png)
Polis turut menyiasat bagaimana aktivis terbabit dapat memasuki kawasan tugu yang merupakan tapak warisan budaya itu.
Secara berasingan, kira-kira 500 orang dijangka menyertai satu lagi demonstrasi melibatkan Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Indonesia (BEM UI), Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) dan kumpulan masyarakat sivil di bawah gabungan Komite Sadar, menurut Antara.
Tuntutan mereka termasuk tindakan terhadap kemerosotan alam sekitar dan rasuah, selain membangkitkan kebimbangan mengenai kebebasan bersuara serta peningkatan kos perkhidmatan awam.
Ahli parlimen Malaysia serah memorandum
Di Malaysia, Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur esok pagi berhubung krisis jerebu.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027, Suhaizan yang mempengerusikan jawatankuasa itu menegaskan jerebu yang berulang bukan sekadar masalah alam sekitar.
“Jerebu sudah menjadi masalah kepada negara ini. Ia bukan sekadar isu alam sekitar, tetapi turut melibatkan kesihatan awam, keselamatan awam, ekonomi dan hubungan diplomatik antara negara jiran.
“Insya-Allah, esok pagi pada jam 10.30 pagi, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan ahli-ahlinya akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Indonesia berhubung masalah jerebu,” kata Suhaizan, yang juga timbalan pengerusi Amanah Johor.
/file/attachments/orphans/haze1_212661.png)
Johor antara negeri yang paling teruk terjejas dalam episod jerebu terbaru ini.
Pada 16 Okt, Pasir Gudang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 207, yang tertinggi di seluruh negara ketika itu dan berada dalam kategori sangat tidak sihat.
Johor masih antara negeri yang terjejas akibat jerebu hari ini, dengan tujuh stesen pemantauan merekodkan kualiti udara tidak sihat.
Setakat jam 5 petang, Larkin merekodkan bacaan IPU 159, diikuti Pasir Gudang dan Kota Tinggi (masing-masing 156), Kluang dan Pengerang (masing-masing 155), Batu Pahat (154) serta Tangkak (153).
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest1sdes_261880.png)
Di seluruh negara, 25 kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat. Batu Muda di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 173, diikuti Johan Setia di Selangor (171).
Kebakaran hutan yang meluas di Indonesia memburukkan krisis jerebu serantau, dengan data satelit daripada kumpulan pemantau Nusantara Atlas menunjukkan lebih 1.9 juta hektar tanah terbakar antara Januari dengan September tahun ini.
Menurut AFP, keluasan itu 38 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2019, yang turut menyaksikan kebakaran hutan teruk.
Kebakaran yang diburukkan oleh kemarau berpanjangan dan kitaran El Niño yang kuat itu menyebabkan pencemaran udara di seluruh Asia Tenggara, sehingga memaksa sekolah ditutup di Malaysia dan Timor-Leste. Asap turut sampai ke Singapura dan Filipina.
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest15_400876.png)
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Dudung Abdurachman berkata semalam bahawa Jakarta sudah memberikan maklum balas terhadap tawaran bantuan memadam kebakaran daripada Malaysia dan Singapura.
Katanya, Malaysia akan menyediakan tiga pesawat dan 52 anggota bagi membantu memadam kebakaran, manakala Singapura turut menjanjikan bantuan tanpa mendedahkan butirannya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/GreenpeaceIndonesiaprotest1asd2ads1_733522.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.