'Kuasa budi bicara pendakwa raya gugur pertuduhan kes Zahid guna prinsip sama dalam kes lain'
PARLIMEN | Seorang ahli parlimen yang juga merupakan seorang peguam daripada Umno hari ini mempersoalkan apa yang disifatkannya sebagai penerimaan secara selektif terhadap kuasa budi bicara Peguam Negara (AG) dalam kalangan ahli parlimen yang mengkritik presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mempertahankan keputusan untuk menggugurkan 47 pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri itu, dengan hujah bahawa kuasa yang sama di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan pernah digunakan sebelum ini dalam kes-kes yang melibatkan ahli politik dan aktivis lain.
"Jika kuasa budi bicara Pendakwa Raya diterima dalam kes-kes terdahulu, mengapakah prinsip yang sama tidak boleh diguna apabila kita menilai kes lain termasuk kes yang melibatkan Bagan Datuk (Zahid)?
"Ini bukan soal mempertahankan mana-mana individu atau parti politik, tapi soal konsistensi dalam mengamalkan prinsip undang-undang," katanya.
Antara kes yang disebut oleh Adnan ialah pertuduhan fitnah jenayah terhadap Rafizi Ramli yang melibatkan Tabung Haji, yang telah digugurkan oleh Jabatan Peguam Negara pada Februari 2019 selepas menerima representasi daripada peguamnya.
Rafizi telah dilepas dan dibebaskan sepenuhnya walaupun sebelum itu dia telah diperintahkan untuk membela diri pada September 2018, selepas Mahkamah Majistret mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.
Adnan turut menyentuh mengenai pembebasan pemimpin DAP, Lim Guan Eng, dan ahli perniagaan Phang Li Koon pada September 2018 daripada pertuduhan rasuah yang melibatkan pembelian sebuah banglo di bawah harga pasaran serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.
Pihak pendakwaan telah memohon agar mereka dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas menerima representasi daripada pihak pembelaan, namun Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebaliknya memberikan pembebasan penuh kepada kedua-dua tertuduh.
"Inilah sebenarnya kedaulatan undang-undang," kata Adnan semasa perbahasannya mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2027.
Adnan mengakui bahawa secara peribadi dia tidak bersetuju dengan beberapa keputusan untuk menarik balik pertuduhan dalam kes-kes terdahulu, namun menegaskan bahawa sebagai seorang peguam dan ahli parlimen, dia perlu menerimanya sebagai sebahagian daripada prinsip kedaulatan undang-undang.
"Jangan apabila keputusan pendakwaan memihak kepada individu tertentu, kita pertahankan kuasa budi bicara Pendakwa Raya.
"Tetapi apabila keputusan yang sama melibatkan individu lain yang tidak kita gemar, kita tidak suka, kita persoalkan kuasa tersebut," katanya.
Dia merujuk kepada keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Januari untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Zahid berhubung 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan itu susulan perintah lepas tanpa bebas (DNAA) yang diberikan kepada Zahid oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September 2023.
Adnan turut mengkritik gesaan supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan atau menasihati Peguam Negara, sambil memberi amaran bahawa tuntutan sedemikian boleh dianggap sebagai percubaan untuk mempengaruhi keputusan pendakwaan.
Sebaliknya, dia berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan sedemikian harus menggunakan saluran undang-undang yang sewajarnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/bb93d95e8e664137e3970e26ce06174d.jpg)
Ramkarpal cabar hujah Adnan
Walau bagaimanapun, Ramkarpal Singh (Pakatan Harapan-Bukit Gelugor) mencabar hujah Adnan, dengan menggariskan perbezaan antara budi bicara pendakwaan dan dapatan kehakiman yang dibuat selepas mendengar keterangan.
Meskipun mengakui kuasa perlembagaan Peguam Negara, Ramkarpal menegaskan bahawa apabila mahkamah memerintahkan seseorang tertuduh untuk membela diri, ia bermakna mahkamah telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi yang memerlukan jawapan daripada tertuduh.
"Memandangkan mahkamah telah membuat dapatan tersebut, bukankah ini satu situasi di mana Peguam Negara seharusnya tidak campur tangan terhadap dapatan mahkamah itu?" soalnya.
Dalam kes Zahid, Mahkamah Tinggi telah memerintahkan presiden Umno itu untuk membela diri terhadap kesemua 47 pertuduhan pada Januari 2022, selepas mendengar keterangan daripada 99 saksi pendakwaan.
Sebagai respons, Adnan menyatakan bahawa terdapat kes-kes lain di mana ramai saksi telah memberi keterangan sebelum pertuduhan akhirnya ditarik balik.
"Tapi bagi saya, kita tidak boleh melihat satu kes untuk kita justify kita punya hujah. Ia perlu ada konsistensi," katanya.
Dia menegaskan bahawa sebarang kebimbangan mengenai kuasa Peguam Negara harus ditangani melalui pindaan perlembagaan dan reformasi institusi, dan bukannya melalui campur tangan dalam kes-kes tertentu.
"Jikalau kita ingin pinda kuasa ini, ia harus kembali ke Dewan yang mulia ini bagi meminda dan kita menentukan sahaja objektif kuasa seorang Peguam Negara," katanya.
Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Januari untuk tidak mengambil tindakan lanjut dibuat susulan semakan terhadap siasatan tambahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan Zahid.
Pihak pendakwaan menyimpulkan bahawa bukti yang ada tidak mencukupi untuk mengekalkan pertuduhan.
Walau bagaimanapun, keputusan tersebut bukanlah satu pembebasan rasmi oleh mahkamah—sesuatu yang turut dipohon oleh Zahid melalui saluran berasingan.
Badan Peguam Malaysia juga telah mencabar keputusan untuk menghentikan pendakwaan terhadap Zahid, dengan mempersoalkan pelaksanaan budi bicara pendakwaan setelah Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes prima facie telah berjaya dibuktikan.
Pada Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan Majlis Peguam meneruskan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan tahun 2023 untuk menghentikan pendakwaan tersebut.
Pada 8 Oktober, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada Zahid dan Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan itu, atas alasan terdapat persoalan perlembagaan yang mempunyai kepentingan awam berhubung budi bicara pendakwaan di bawah Perkara 145(3).
Cabaran undang-undang oleh Majlis Peguam kini ditangguhkan sementara menunggu prosiding di Mahkamah Persekutuan, dengan Mahkamah Tinggi menetapkan 14 Jun 2027 sebagai tarikh pengurusan kes.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/4523423423_664355.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.