PARLIMEN | Naib Presiden PKR, Amirudin Shari hari ini mengelak daripada menjawab soalan sama ada Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu menjelaskan dakwaan terbabit dalam usaha menjana sokongan palsu terhadap dirinya di media sosial.

Perkara itu dibangkitkan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) di Dewan Rakyat susulan laporan syarikat kecerdasan buatan (AI), Anthropic, bulan lalu mengenai dakwaan operasi mempengaruhi pandangan awam menggunakan AI yang menyasarkan Malaysia.

"Itu adalah sebahagian daripada dakwaan yang harus dijelaskan oleh pihak yang terlibat. Saya tidak boleh menjelaskan," katanya.

Pada 10 Sept lalu, syarikat AI Anthropic melaporkan bahawa seorang pelaku didakwa menyalahgunakan model Claude untuk menyasarkan rakyat Malaysia secara khusus dengan mengeksploitasi sensitiviti berkaitan kaum, agama dan institusi diraja.

Laporan itu turut mendedahkan permintaan untuk menjana sejuta tontonan buatan bagi akaun perdana menteri Malaysia ketika ini.

Bagaimanapun, laporan berkenaan menyatakan tiada bukti bahawa operasi itu mendapat sambutan besar atau mempengaruhi keputusan pilihan raya.

'Alat fasis'

Amirudin, yang juga pengarah pilihan raya PKR bersama Saifuddin Nasution Ismail, kemudian menyatakan bahawa penggunaan tentera siber oleh parti politik bukanlah perkara asing.

Namun, dia berkata ancaman lebih besar daripada AI perlu diberi perhatian berbanding pertikaian politik yang terhad.

"Saya percaya, anda melantik cyber trooper , anda melantik pejuang-pejuang jihadis siber yang sebenarnya punya fitnah pun, itu adalah strategi politik, terpulanglah dengan kaedah masing-masing.

"Tetapi yang dibangkitkan saya pada hari ini tentang Anthropic. Mesin itu telah bergerak dan membuat satu alat yang berbentuk fasis dan perbuatan-perbuatan itu telah mengarah kepada perubahan politik di banyak tempat dalam negara.” katanya.

Menurut Amirudin, kebimbangan lebih mendesak ialah potensi AI menjadi alat fasisme dan mempengaruhi perkembangan politik. Ini kerana teknologi berkenaan membolehkan pengawasan besar-besaran serta memanipulasi sentimen masyarakat melalui emosi dan penciptaan “mitos baharu”.

Menyifatkan fenomena itu sebagai “fasisme teknologi”, Amirudin berkata ia menimbulkan ancaman serius bukan sahaja kepada manusia, pasaran, nilai ekonomi dan mata pencarian, malah kedaulatan negara.

"Kemusnahan telah berlaku, kerosakan telah berlaku, tetapi akhirnya tak ada siapa yang nak bertanggungjawab kerana akhirnya (kesalahan diletak) pada AI.

"Perkara ini saya ulang kali sebutkan bahawa kita kena membentuk etika kita ketika berdepan dengan AI sebelum kita bersungguh-sungguh dan kita dengan pantasnya untuk adopt ataupun mengguna pakai AI dalam kehidupan kita,” katanya.

Hasil kerajaan yang mampan

Sementara itu, Menteri Besar Selangor itu turut menggesa supaya sistem percukaian negara dikaji secara menyeluruh bagi memastikan hasil kerajaan mampan untuk membiayai pembangunan dan subsidi.

Dia berkata kerajaan perlu mempertimbangkan bagaimana hasil negara dapat dikembalikan kepada rakyat menerusi sistem percukaian yang lebih baik.

“Ini isu fiskal yang serius dan perlu dipertimbangkan bagi memastikan hasil negara mampan, yang kemudiannya boleh disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan subsidi,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa pembaharuan sedemikian, mana-mana kerajaan atau perdana menteri akan terus berdepan kekangan dan bergantung pada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi pembangunan.

“Ada yang mencadangkan supaya GST diperkenalkan semula, manakala pihak lain mencadangkan subsidi atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikaji semula.

“Bagaimanapun, kerangka percukaian yang lebih menyeluruh perlu dipertimbangkan, di samping mengenal pasti sumber hasil yang sesuai untuk negara,” katanya.