Soalan lantang derma Najib: Ummi tiada hasrat sertai politik
Siswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit berkata dia tidak merancang menyertai politik buat masa ini, sebaliknya mahu membina kerjaya dalam sektor korporat selepas menamatkan pengajian.
Dia menolak dakwaan warganet bahawa soalannya yang tular selepas diajukan dalam sebuah majlis dialog sekadar batu loncatan untuk menyertai parti politik, khususnya Pakatan Harapan (PH).
“Saya katakan saya tidak akan menyertai politik. Buat masa ini,” katanya.
Bercakap melalui podcast terbaru KiniTV, “Explain Sikit”, yang dikendalikan editor kanan Malaysiakini, Yiswaree Palansamy (gambar bawah), Ummi berkata dia mahu bekerja dalam bidang dasar awam selepas memperoleh ijazah ekonomi.
/file/attachments/orphans/image65_333190.jpeg)
“Rancangan saya selepas ini adalah menyertai sektor korporat. Dasar awam. Saya tak suka perhatian yang saya terima sekarang,” katanya.
Pada program sama, Ummi dan aktivis mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Brendon Gan turut menilai prestasi Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli.
Adam sebelum ini mempertahankan Ummi susulan kritikan mahasiswa itu terhadap sumbangan orang ramai untuk membantu bekas perdana menteri Najib Razak membayar denda RM50 juta.
Ummi mendakwa dia berdepan gangguan dan ancaman di media sosial selepas soalan yang dibangkitkannya tular apabila dia bertanya rasional sumbangan berkenaan, yang disifatkannya sebagai tindakan “paling bodoh”.
/file/attachments/orphans/kpt-01_992615.jpg)
Majlis forum pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFuture 2026) itu menampilkan antaranya bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi itu.
Ummi tetap mempertahankan pendiriannya dan menegaskan dia tidak akan menarik balik kenyataan itu atau memohon maaf.
Menurutnya, tidak menghairankan apabila mahasiswa UM yang lantang bersuara sepertinya dijangka terjun ke dunia politik.
“Saya rasa sebagai pelajar yang datang dari Universiti Malaya, mungkin orang akan jangka saya akan menyertai politik. Tetapi saya ada peluang untuk katakan ini bahawa saya tidak akan menyertai politik. Buat masa ini," katanya.
"Rancangan saya selepas ini ialah menyertai sektor korporat, dasar awam. Sejujurnya, saya tidak suka perhatian yang saya terima sekarang.
"Ramai orang suruh saya ambil jalan pintas ke politik. Tidak. Saya masih ada sebab untuk berfikir bahawa saya perlu ada berpuluh-puluh tahun pengalaman sebelum melangkah ke politik," katanya.
Bertanya selepas membuat kajian
Ummi menegaskan dia tidak pernah berniat untuk menjadi tular apabila mengajukan soalan kepada ahli politik pada majlis forum itu.
“Dari awal, niat saya bukan untuk tular atau masuk politik seperti kata netizen. Saya bertanya kerana saya ada pemikiran kritis.
"Saya belajar ekonomi, dan dalam ekonomi kita bincang perkara sebegini. Jadi saya rasa ia soalan yang mudah," katanya.
Menurutnya, soalan itu sudah dirancang sebelum forum tersebut.
"Ke mana-mana forum saya pergi, saya akan buat kajian menyeluruh tentang latar belakang panel dan topik forum. Saya tidak berniat menyerang mana-mana tokoh politik," katanya.,” tambahnya.
Walaupun Ummi berkata Khairy antara idolanya namun dia tidak berpuas hati dengan jawapan bekas ahli parlimen Rembau itu.
"Saya setuju dengan netizen. Dia tidak menjawab langsung. Dia hanya menjawab pendirian di permukaan.
"Saya fikir beliau hanya beri jawapan selamat," katanya.
/file/attachments/orphans/kpt-04_351991.jpg)
Ummi turut tidak berpuas hati dengan jawapan Onn Hafiz yang menurutnya, lebih tertumpu pada dakwaan pendakwaan politik berbanding persoalan yang dibangkitkannya.
Mengulas kecaman terhadapnya, Ummi berkata reaksi itu menunjukkan masih ada pihak yang tidak memahami konteks kenyataannya.
"Apabila saya kata perbuatan paling bodoh, mereka kata saya bodoh. Itu tanda literasi kita masih rendah," katanya.
Persoal mansuh Auku
Podcast itu turut membincangkan usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).
Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan akta itu untuk memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa.
Lima hari kemudian, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan untuk mengkaji penggubalan akta pengganti, menerusi cadangan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (One Higher Education Act, OHEA).
Pada 28 Ogos, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan universiti awam menghentikan serta-merta prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman.
/file/attachments/orphans/image62_364156.jpeg)
Bagaimanapun, Ummi dan Gan mempertikaikan jika langkah berkenaan boleh dianggap satu kejayaan.
Ummi menyoal sejauh mana kemajuan usaha memansuhkan Auku kerana dakwanya, kebebasan mahasiswa untuk bersuara masih terbatas.
""Kami masih terhad. Pendapat kami terhad, kebebasan kami terhad. Jadi di mana mansuh AUKU itu," tegasnya.
Gan pula berkata pengumuman itu mengingatkannya kepada 2018, apabila menteri pendidikan ketika itu, Maszlee Malik berkata Auku akan dimansuhkan.
/file/attachments/orphans/image63_822240.jpeg)
"Sebahagian peruntukan regresif dalam Seksyen 15 digugurkan, tetapi ia tidak dimansuhkan sepenuhnya. Selepas Langkah Sheraton, usaha memansuhkan Auku terhenti sepenuhnya.
"Apabila perdana menteri umumkan AUKU akan dimansuhkan, fikiran pertama saya, mungkin ini adegan politik atau sekadar alat kosmetik untuk menarik lebih banyak undi dan sokongan belia dan pelajar," katanya.,” katanya.
Dia turut menyoal kenapa pengumuman itu hanya dibuat sekarang, hampir empat tahun selepas kerajaan mengambil alih kuasa susulan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Dalam podcast itu, kedua-dua tetamu turut diminta menilai prestasi Adam pada skala satu hingga 10.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/50dbe5393cd93f0fd8d2f8ef85a57128.jpg)
Ummi berkata walaupun masih mempunyai beberapa keraguan tentang prestasi keseluruhan Adam namun dia mengakui usaha timbalan menteri itu, termasuk keberaniannya membangkitkan isu mahasiswa di parlimen.
“Saya beri dia enam daripada 10. Saya tak menganggap prestasinya baik semata-mata kerana dia mempertahankan saya.
“Orang ramai suka mengaitkannya dengan naratif lamanya. Saya rasa Adam masih menunjukkan kemajuan, tetapi bukan 10 daripada 10,” tambahnya.
Adam, yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya, pernah digantung pengajian oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 2013 selepas didakwa menghasut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/93cebdc18d8fb776b55f64370468f75f.jpg)
Pertuduhan mengikut Akta Hasutan itu berkaitan ucapannya dalam forum pada 13 Mei tahun berkenaan, apabila dia menggesa orang ramai turun ke jalan bagi membantah penipuan pilihan raya.
Penggantungan pengajiannya dibatalkan pada 2018 selepas Mahkamah Rayuan membebaskannya daripada pertuduhan tersebut.
Ummi turut melihat kemajuan dalam langkah yang disifatkannya sebagai penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mahasiswa B40 yang memenuhi syarat tertentu.
Sementara itu, Gan memberikan tujuh markah berdasarkan pengalamannya bekerjasama dengan Adam.
“Saya beri tujuh daripada 10 tanpa ragu-ragu. Selepas menjadi timbalan menteri, perkara pertama yang dilakukannya ialah memanggil gerakan mahasiswa untuk bermesyuarat.
“Reform IPT antara pertubuhan mahasiswa dan NGO yang diundang ke sesi itu, yang membincangkan isu perolehan dan proses tender,” katanya.
Menurut Gan, antara cadangan yang dibincangkan dalam pertemuan itu ialah kerangka Independent Expert Monitor (IEM), atau Pemantau Pakar Bebas.
Gan turut mengimbas tindakan Adam, bekas ketua Pemuda PKR (AMK), yang turun sendiri menerima memorandum pada demonstrasi Mansuh Auku walaupun mahasiswa mengangkat kad merah terhadapnya sebagai tanda bantahan.
“Bukan menteri sendiri. Dia (Adam) yang turun menerima memorandum dan bercakap dengan kami semua.
“Apabila saya disiasat mengikut Seksyen 506 dan 233, dia menghantar mesej dan memastikan sekali lagi sama ada saya dikenakan sebarang tindakan oleh universiti,” tambah Gan.
/file/attachments/888/brendongan_724729.jpg)
Siasatan itu melibatkan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Gan melihat Adam sebagai sekutu yang berdepan kekangan hierarki. Namun, katanya, Adam perlu memperjuangkan pendiriannya di Parlimen untuk meraih markah lebih tinggi.
“"Kuasa dia tidak mengatasi kuasa menteri, tidak kira betapa dia mahu memansuhkan AUKU seperti kita semua. Kalau hari ini dia mahu memansuhkan dan ketua kata tidak, bermakna tidak.
"Untuk naik daripada tujuh ke 10, dia perlu buktikan pendirian dia di Parlimen," katanya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/UmmiUmairahBakhit12_333164.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.