Dikompaun RM25,000, Ketua Pemuda Amanah Bachok dilepas tanpa dibebaskan
Selepas dikompaun RM25,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas dakwaan penyebaran berita palsu, Ketua Pemuda Amanah Bachok, Abdullah Aqili Romeli, dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor hari ini, hakim Raja Shahril Anuar Raja Baniamin memaklumkan pihak pendakwaan iaitu MCMC menarik balik pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan agar wang jaminan RM7,000 dan barangan rampasan lain dipulangkan kepada tertuduh.
Pada 26 Apr lalu Abdullah Aqili menjelaskan dia terkhilaf kerana memaparkan poster maklumat tidak sahih, namun mendakwa ia dibuat dengan niat untuk mengkritik agensi kerajaan yang tidak memainkan peranan yang sepatutnya.
Dakwa tertuduh, dia menyedari banyak pihak yang menyebarkan poster kenaikan harga minyak itu dan memuat naik hantaran dengan sinis untuk menegur agensi kerajaan yang dilihatnya tidak bertindak.
Susulan laporan pihak tertentu terhadap Abdullah Aqili, dia disiasat MCMC sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada 28 Jul lalu.
Bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Abdullah Aqili didakwa menggunakan akaun “@qilieybrembo” di Threads dan secara sedar membuat serta memulakan hantaran bersifat palsu dengan niat untuk mengganggu orang ramai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 12 tengah hari, 31 Mac lalu.
Hantaran itu kemudian dilihat pada jam 3 petang hari yang sama di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang membolehkan tertuduh dihukum di bawah seksyen 233(2) akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Abdullah Aqili diwakili lima peguam yang memberikan khidmat masing-masing secara pro bono iaitu Mohd Faizal Abdullah, Mohd Ridzuan Muhamad, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman, Fadhliumar Aminulhuda dan Firdaus Mohd Yusoff.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/5465464352323_372235.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.