Bekas pengarah syarikat IT didakwa pecah amanah RM5.5 juta, pengubahan wang haram
Seorang bekas pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan melakukan pecah amanah RM5.5 juta dan pengubahan wang haram berjumlah RM403,000, tujuh tahun lepas.
Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad dan Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Liew yang ketika itu pengarah syarikat ARB Development Sdn Bhd didakwa telah diamanahkan dana syarikat berjumlah RM5.5 juta bagi tujuan pembelian 51 peratus ekuiti, (bersamaan dengan 255,000 unit saham biasa) dalam syarikat C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
Bagaimanapun, dia didakwa melakukan pecah amanah terhadap dana itu dengan memindahkan wang ke dalam akaun sebuah firma guaman sebelum dipindahkan ke akaun bank milik Er Yan Shuen, 55, kononnya bagi tujuan pembelian tiga lot kedai pejabat di Tigerlane Square di Ipoh, Perak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Stesen Sentral 2 di sini antara 6 Mei 2019 dan 17 Jun 2019, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Julianaazrina Jaafar mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau turut memohon supaya Liew tidak meninggalkan negara tanpa kebenaran mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan, sama ada secara langsung atau melalui pihak lain.
"Ini bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah selain mengambil kira pertuduhan ini (pecah Amanah) melibatkan RM5.5 juta," katanya.
Bagaimanapun, peguam Zander Lim Wai Keong yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak berisiko melarikan diri, serta tidak membantah penyerahan pasport kepada mahkamah.
"Jaminan RM500,000 adalah terlalu tinggi dan di luar kemampuan tertuduh dan keluarga. Isterinya tidak bekerja selain akaun bank tertuduh dan isteri telah dibekukan sejak 2025 berikutan siasatan kes," katanya.
Muhammad Ilmami kemudiannya membenarkan Liew diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Dis depan untuk sebutan kes.
Sementara itu di hadapan Suzana, Liew didakwa telah melibatkan diri dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan mengarahkan Er untuk memindahkan wang RM403,000 daripada akaun bank miliknya ke akaun bank Syarikat Permata Global Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Cawangan Taman Maluri di sini pada 15 Jun 2019 yang mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Julianaazrina memohon mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM200,000 serta syarat tambahan untuk kes sebelum ini (pecah amanah).
"Pihak pendakwaan memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini kerana melibatkan saksi sama dengan kes di mahkamah ini dan permohonan ini tidak dibantah pihak peguam," katanya.
Suzana kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini dan mengguna pakai jaminan RM200,000 serta syarat tambahan sama sehingga kes selesai.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/a37058c3f4d98d64b755890e604b3290.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.