Prosignal, Lembaga Lebuhraya mesti perincikan masalah Tuju - Fahmi
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Prosignal Consortium Sdn Bhd dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mesti memberikan penjelasan terperinci mengenai masalah yang dihadapi oleh pengguna aplikasi navigasi tempatan Tuju.
Menteri komunikasi itu berkata penjelasan berkenaan perlu merangkumi punca masalah, isu teknikal, keberkesanan aplikasi dan pengalaman pengguna, serta pelan langkah penambahbaikan dengan sasaran dan garis masa yang jelas.
"Penjelasan tersebut penting bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna dapat ditangani secara menyeluruh meningkatkan kepercayaan aplikasi Tuju serta memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap penggunaan aplikasi navigasi tempatan," katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya petang ini.
Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempromosi Tuju sebagai alternatif kepada aplikasi navigasi Waze yang berpangkalan di Israel, berikutan risiko keselamatan data.
Bagaimanapun, aduan awam berhubung gangguan teknikal terhadap perkhidmatan Tuju semakin meningkat.
Penasihat DAP Lim Guan Eng menyifatkan aplikasi berkenaan sebagai memalukan negara mengecam pihak yang menurutnya memberikan nasihat salah kepada Anwar.
LLM mengeluarkan permohonan maaf sebagai maklum balas terhadap gangguan tersebut, sambil menyatakan bahawa isu teknikal timbuk susulan lonjakan jumlah pengguna yang ketara.
Tuju dibangunkan oleh Prosignal di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani dengan LLM pada 26 Mei 2022, dan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pada 26 Nov tahun lepas.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar ditugaskan untuk menyelaras mesyuarat melibatkan ketua-ketua setiausaha daripada beberapa kementerian bagi meneliti penggunaan aplikasi navigasi, termasuk alternatif tempatan.
Mesyuarat itu, jelas Fahmi, akan meneliti penjelasan daripada LLM dan Prosignal mengenai keupayaan teknikal dan pelan penambahbaikan Tuju.
"Saya juga ingin menarik perhatian umum bahawa pihak kerajaan menggalakkan penggunaan pelbagai aplikasi alternatif, sama ada tempatan mahupun yang dibangunkan oleh pihak luar negara.
"Yang penting, tidak menggunakan Waze atas aspek-aspek keselamatan yang telah dimaklumkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Pada Rabu, kerajaan mengumumkan bahawa penjawat awam dilarang menggunakan Waze semasa menjalankan urusan rasmi.
Larangan terhadap aplikasi navigasi popular itu dipercayai berkaitan dengan asal usul anak syarikat Google berkenaan di Israel, yang menurut Anwar membawa risiko data pergerakan dan keselamatan maklumat kerana aplikasi itu "terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel".
Berdasarkan pekeliling kepada penjawat awam bertarikh 20 Okt, Shamsul berkata arahan itu dibuat selepas perdana menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Siber Negara pada hari yang sama, di mana keputusan itu dibuat serta-merta.
Waze sejak itu menafikan dakwaan bahawa ia mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan pihak ketiga mengeksploitasi data peribadi pengguna.
Semasa sidang media itu, Fahmi berkata satu lagi kebimbangan adalah bahawa pertikaian undang-undang melibatkan Waze akan dikendalikan mahkamah Israel.
"Ini bermaksud sekiranya ada apa-apa yang berbangkit kita tidak boleh pergi ke situ kerana Malaysia tidak mengiktiraf, tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel," tambahnya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/fahmi1dssd_456257.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.