'Berat naik tak jamin kebajikan Dara, Amoi dan Kelat'
Peningkatan berat badan bukan jaminan kebajikan tiga gajah Malaysia di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun terpelihara, kata Pertubuhan Ihsan Haiwan Malaysia (Shelter Ihsan).
Menurut pertubuhan itu, kesihatan fizikal, mental dan tingkah laku Dara, Amoi dan Kelat perlu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan haiwan berkenaan menikmati kehidupan yang berkualiti.
Shelter Ihsan mengulas kenyataan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) semalam yang menafikan dakwaan pengabaian dan penderaan terhadap ketiga-tiga gajah itu.
“Sejak bila berat badan menjadi penentu kebajikan haiwan?
“MPT berulang kali menyatakan peningkatan berat badan mereka. Apakah itu membuktikan mereka menikmati kehidupan yang berkualiti, mempunyai ruang yang mencukupi, bebas daripada tekanan kronik, berpeluang melakukan tingkah laku semula jadi dan mempunyai pilihan terhadap persekitaran mereka?” menurut kenyataan pertubuhan itu hari ini.
Shelter Ihsan menegaskan gajah ialah haiwan sosial yang kompleks, dengan keperluan fizikal, mental dan tingkah laku yang tidak boleh diringkaskan kepada berat badan atau senarai makanan.
Katanya, selera makan bukan ukuran tunggal kesejahteraan mental, manakala peningkatan berat badan tidak membuktikan semua keperluan semula jadi gajah telah dipenuhi.
“MPT perlu memahami bahawa menyediakan makanan dan menyediakan kehidupan yang berkualiti ialah dua perkara yang berbeza,” menurut kenyataan itu.
Pertubuhan itu berkata kebajikan gajah turut bergantung pada keluasan ruang pergerakan, peluang mencari makanan, interaksi sosial, rangsangan mental, keadaan lantai, penjagaan kaki dan kebebasan melakukan tingkah laku semula jadi.
MPT nafi pengabaian dan penderaan
Semalam, Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata laporan terkini pihak zoo dan penilaian majlis itu mendapati ketiga-tiga gajah berada dalam keadaan baik, aktif dan sihat serta berjaya menyesuaikan diri.
“Dara, Amoi dan Kelat juga telah ditempatkan bersama semula sejak 20 September lalu, selain diberikan akses tanpa sekatan ke kawasan pameran dan kandang malam,” katanya seperti dilaporkan NST Online.
Menurut Mohamed Akmal, tingkah laku menghayun kepala yang tular di media sosial tidak semestinya menunjukkan tekanan atau gangguan emosi, sebaliknya mungkin berkaitan dengan jangkaan makanan.
Bagaimanapun, Shelter Ihsan menegaskan pergerakan kepala secara berulang atau head swaying perlu dinilai berdasarkan kekerapan, tempoh, konteks, sejarah tingkah laku dan keadaan persekitaran.
Katanya, tingkah laku itu tidak sepatutnya terus dianggap normal atau dijadikan bukti tekanan tanpa pemeriksaan lanjut.
“Jika pergerakan kepala tidak boleh secara automatik membuktikan tekanan, ia juga tidak boleh secara automatik dianggap sebagai tingkah laku biasa yang tidak membimbangkan hanya kerana ia berlaku ketika haiwan menjangkakan makanan,” menurut kenyataan itu.
Dara, Amoi dan Kelat tiba di Zoo Tennoji pada 11 Mac lalu selepas dipindahkan dari Zoo Taiping & Night Safari.
Pada 3 Mei lalu, Zoo Tennoji menyiarkan hantaran blog bergambar dalam bahasa Jepun yang memperkenalkan ketiga-tiga gajah itu dan menerangkan penjagaan mereka, ketika kebajikan haiwan berkenaan mendapat perhatian orang ramai di Malaysia.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/05/6bf8bb89ee2678d64a2bc8ad0d794637.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.