Pakatan diketuai Arab Saudi pada awal Selasa memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan tiga peluru berpandu balistik yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman ke arah Wilayah Timur Arab Saudi, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pengumuman itu tidak menyatakan sasaran yang dituju atau memberikan butiran mengenai kemungkinan terdapat korban jiwa atau kerosakan.

Pada Isnin, pakatan itu memaklumkan bahawa pihaknya memintas dan memusnahkan tiga dron di ruang udara wilayah Riyadh dan selatan Arab Saudi, tanpa menyatakan asal dron berkenaan atau sasaran yang dituju.

Pakatan itu turut mengumumkan serangan terhadap kedudukan Houthi di Yaman, dengan memaklumkan bahawa pihaknya memusnahkan pelancar peluru berpandu balistik, terowong penyimpanan dan depot peluru berpandu.

Jurucakap pakatan itu Turki al-Maliki berkata operasi berkenaan bertujuan menghapuskan rangkaian peluru berpandu balistik kumpulan itu serta mengganggu laluan bekalannya.

Perkembangan terbaharu itu berlaku ketika ketegangan antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi di Yaman terus meningkat sejak Julai, di samping pertempuran yang kembali tercetus antara Houthi dengan kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Arab Saudi mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yaman dalam menentang Houthi sejak Mac 2015.

Kumpulan itu menguasai ibu negara Yaman, Sanaa, serta beberapa kawasan lain di negara berkenaan sejak September 2014.