Ismail kekal tadbir tanpa exco, pilih tunggu keputusan mahkamah
Lebih sebulan selepas Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 exco kerajaan negeri, Menteri Besar Ismail Lasim tetap berpendirian untuk meneruskan pentadbiran negeri tanpa mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Merujuk kepada prosiding mahkamah yang sedang difailkan oleh bekas anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) bagi mencabar keabsahan pemecatan mereka oleh Tuanku Muhriz, Ismail berkata keputusan mahkamah perlu mendahului sebarang tindakan berkaitan pelantikan barisan exco baharu.
"Kita sudah bawa ke mahkamah, kita tunggulah keputusan mahkamah, tapi mungkin ada perbincangan dan sebagainya, saya tak pasti," katanya kepada media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Seremban hari ini,
Jawatan exco berkenaan dibatalkan berkuat kuasa 20 Sept, dengan 10 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) itu dituduh melanggar sumpah setia kepada Tuanku Muhriz. Baginda turut bertitah supaya menteri besar mengemukakan senarai nama baharu bagi barisan exco negeri.
Awal bulan ini, ketua pembangkang negeri J Arul Kumar berkata penangguhan sidang Dewan Undangan Negeri menimbulkan persoalan baharu berhubung ketiadaan barisan exco yang berfungsi.
Adun Nilai itu berkata pentadbiran negeri kelihatan beroperasi secara 'solo', dengan Ismail seakan-akan menggalas tanggungjawab pentadbiran dan portfolio negeri tanpa kehadiran 10 exco.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Ismail memilih untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian pelantikan ketua kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berbanding menangani krisis exco yang kontroversial itu.
10 bekas exco negeri berkenaan sejak itu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar keabsahan warta yang membatalkan pelantikan mereka.
Mahkamah Persekutuan turut menetapkan 16 Dis untuk mendengar permohonan undang-undang yang difailkan oleh 10 bekas anggota exco terbabit, selepas kumpulan itu memfailkan notis usul pada 14 Okt dengan menamakan setiausaha kerajaan negeri dan kerajaan negeri sebagai responden.
Kumpulan tersebut memohon perintah mahkamah tertinggi negara berkenaan tiga soalan undang-undang mengenai kesan dan tafsiran peruntukan dalam perlembagaan negeri, berikutan soalan yang timbul daripada saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
10 Adun yang terlibat dalam krisis itu termasuk tujuh daripada Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu), dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Selebihnya ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, Fairuz Isa (Serting) daripada PAS, serta Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan Negara.
Selain bekas exco berkenaan, Umno masih mempunyai sembilan Adun manakala MCA mempunyai seorang, di samping PAS dengan tiga kerusi dan Wawasan dengan dua kerusi.
Sementara itu, Ismail dilaporkan berkata hari ini bahawa dia kekal mendapat sokongan penuh daripada semua 24 Adun kerajaan, dengan ketua Umno Bahagian Kuala Pilah itu menegaskan bahawa dia kini menumpukan perhatian kepada pembentangan belanjawan negeri pada 27 Nov ini.
"Tak betul dakwaan tak dapat sokongan. Semua 24 Adun kerajaan berikan sokongan. Kami sedang fokus kepada penyediaan Belanjawan Negeri Sembilan 2027.
"Saya mendapat sokongan daripada ketua-ketua jabatan, Adun-Adun kerajaan termasuk bekas exco walaupun mereka tidak berada dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.
"Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama sehingga DUN boleh bersidang dan bajet boleh kita luluskan," katanya menambah persiapan belanjawan kini di peringkat akhir.
"Buat masa ini tiada perubahan dari segi tarikh persidangan DUN dan pembentangan belanjawan yang dirancang perasmiannya pada 26 November, disusuli pembentangan bajet pada 27 November," katanya.
Mengenai dakwaan dia akan meletak jawatan menteri besar, Ismail menegaskan sekali lagi bahawa dakwaan itu sebagai khabar angin.
"Itu adalah khabar angin. Kita sudah mempunyai peruntukan yang mencukupi dan kini menunggu perkenan Tuanku Muhriz untuk meneruskannya,” katanya sambil menegaskan bahawa isu letak jawatan itu sengaja dimainkan oleh pihak tertentu terutama menerusi media sosial.
Tuanku Muhriz dijadualkan merasmikan pembukaan sidang DUN yang seterusnya pada 26 Nov, kira-kira sebulan selepas baginda menegur Ismail secara terbuka berhubung peranan menteri besar itu dalam percubaan menjatuhkan baginda.
Dalam teguran keras di Masjid Kampung Beting di Kuala Pilah pada 16 Okt, Tuanku Muhriz mendedahkan bahawa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi memaklumkan bahawa baginda bukan lagi pemerintah negeri.
Meskipun terdapat desakan daripada pelbagai pihak agar dia memberikan penjelasan mengenai dakwaan baginda, Ismail masih belum menjelaskan sama ada dia ada menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bagi mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz.
Mengenai dakwaan beberapa bekas exco belum memulangkan kenderaan rasmi walaupun arahan mengenai perkara itu sudah dikeluarkan sebaik pembatalan pelantikan mereka, dia berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.
"Saya tak tahu, saya jaga kereta saya saja," katanya yang juga Adun Juasseh.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/IsmailLasim1_924924.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.