Parlimen diminta bersuara isu kematian Noorizwan, tahanan lain
Barisan peguam serta ahli keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly hari ini berhimpun di hadapan bangunan parlimen bagi mendesak supaya isu tersebut dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Meskipun telah mendapat jaminan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa siasatan yang menyeluruh dan telus akan diadakan, namun ia masih gagal meyakinkan mereka.
Mendakwa punca kematian Noorizwan disebabkan "trauma tumpul di kepala", siasatan pihak polis tidak dianggap memadai kerana dilihat sebagai polis menyiasat polis.
"Campur tangan perdana menteri dan arahan ketua polis negara kami sambut baik, tetapi ia tidak mengubah isu pokok iaitu polis menyiasat diri mereka sendiri.
"Lebih tiga minggu kemudian, kes ini masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut walaupun terdapat bukti forensik jelas tentang kematian akibat keganasan.
“Tiada pegawai yang digantung tugas, dan pegawai kanan polis telah secara terbuka membuat kenynataan bercanggah dengan penemuan bedah siasat," kata memorandum berkenaan.
Ia diserahkan adik Noorizwan, Nooranis Zulkefly, dan Pengarah Lawyer of Liberty (LFL), Rania Aljunied kepada ahli parlimen PH. Antaranya RSN Rayer (Jelutong), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Young Syefura Othman (Bentong).
Difahamkan memorandum berkenaan turut diserahkan kepada wakil Kementeri Dalam Negeri.
Pada 24 Okt lalu, Anwar mahu siasatan kematian Noorizwan ketika dalam tahanan polis dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Anwar berkata dia sudah menghubungi Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes itu dan menegaskan supaya perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga.
Dia turut mewakilkan pegawainya menerima surat rayuan yang diserahkan keluarga Noorizwan di kediamannya di Sungai Long, Kajang.
“Saya dijadualkan menghadiri beberapa rencana di Melaka hari ini dan telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga," kata Anwar.
Susulan itu, Mohd Khalid mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman melakukan siasatan menyeluruh berhubung kematian itu.
Sementara itu, memorandum berkenaan turut menggesa Mohd Khalid memastikan siasatan oleh CID Bukit Aman dijalankan sebagai siasatan pembunuhan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan tanpa campur tangan Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Antara lain memorandum tersebut menuntut:
Anggota polis yang disyaki terlibat digantung tugas dan ditahan dengan segera
Siasatan jenayah terhadap peguam keluarga dihentikan dengan segera
Menyokong penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk menyiasat kematian Noorizwan dan kematian dalam tahanan polis secara amnya; dan
Menyokong penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan kuasa penuh dan bebas untuk menyiasat kematian dalam tahanan dan salah laku polis yang serius.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/Noorizwan11_292783.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.