PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata dia tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai keadaan yang membawa kepada siasatan polis terhadap peguam yang mewakili keluarga mendiang Noorizwan Zulkefly.

Menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang mempersoalkan pendirian Kementerian Dalam Negeri terhadap siasatan itu, Saifuddin berkata dia juga berminat untuk mengetahui punca yang mendedahkan peguam terbabit kepada siasatan, namun tidak boleh campur tangan untuk menghentikannya.

“Saya tak privy benda itu.

“Saya pun seperti mana juga dengan Bukit Gelugor, saya pun nak tahu juga apa yang mencetuskan, yang trigger penyiasatan itu?

“Cuma peguam dalam menjalankan tugas dengan dedikasi dia itu, bila dia sampai kepada pihak yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan, Bagaimana dia bawa diri? Bagaimana dia berkomunikasi?

“Apakah ada keadaan di mana yang menyebabkan berlaku pula beberapa pelanggaran etika? Saya pun tak privy maklumat-maklumat itu,” kata menteri itu ketika mengulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Saifuddin menafikan bahawa peguam terbabit menjadi sasaran kerana mendedahkan dakwaan salah laku polis, sambil menegaskan bahawa siasatan secara bersendirian tidak bermakna mereka ditindas atas peranan dalam kes berkenaan.

“Saya tak boleh bagi jaminan bahawa oleh kerana mereka peguam, maka (siasatan ke atas) mereka mesti hentikan. Saya tak boleh.

“Tak ada menteri yang boleh buat arahan macam itu sebab proses itu biarlah due process (proses undang-undang) berlaku,” katanya.

Noorizwan, 42, meninggal dunia pada 1 Oktober selepas menghabiskan masa hampir 10 hari dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Pada 14 Oktober, keluarga dan peguamnya mendedahkan bahawa bedah siasat merekodkan 21 kecederaan pada badannya, termasuk kecederaan di kepala dan organ dalaman. Gambar yang mendokumentasikan kecederaan itu kemudiannya didedahkan kepada umum, dan menarik perhatian ramai terhadap keadaan di sebalik kematiannya.

Seminggu kemudian, Lawyers for Liberty (LFL) mendakwa bahawa pengasasnya, Latheefa Koya dan N Surendran, bersama peguam Dina Zamri, disiasat atas dakwaan mereka mendesak Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mennyiarkan gambar bedah siasat Noorizwan.

Perkembangan ini berlaku selepas Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata penyiasat sedang menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan rasmi patologi sebelum melengkapkan siasatan terhadap kematian itu.

Siasatan tersebut mendapat kritikan daripada Ramkarpal, yang memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai intimidasi terhadap peguam yang menjalankan tugas profesional mereka.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan turut menyifatkan perkembangan itu sebagai "tahap terendah baharu" bagi kerajaan, sambil memberi amaran bahawa tindakan menyasar peguam yang mencari jawapan boleh memburukkan lagi prasangka awam berhubung kematian Noorizwan.