Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pertemuan dengan kepimpinan MCA sebagai positif, namun Presiden MCA Wee Ka Siong berkata terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

Perbezaan kenyataan kedua-dua pemimpin itu timbul ketika pertikaian antara Umno, parti tunjang BN, dengan MCA berhubung pembahagian kerusi masih berlarutan menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Wee berkata MCA dan Umno belum berhubung semula selepas pertemuan di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang bermula pada 11 malam semalam dan berakhir sekitar 1 pagi tadi.

“Adalah terlalu awal untuk (Zahid) menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini. Kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan, dan saya berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

"Sebarang keputusan mengenai langkah MCA seterusnya serta pendirian muktamad parti berhubung PRN Melaka akan dibincang dan diputuskan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat,” tambahnya.

Terdahulu hari ini, Zahid menolak khabar angin MCA akan keluar BN dan menegaskan tiada konflik, selepas menghadiri pertemuan dengan Wee dan Ketua Menteri sementara Melaka Ab Rauf Yusoh.

“Mengenai pertemuan dengan Presiden MCA dan juga Setiausaha Agung Barisan Nasional serta Ketua Menteri Melaka memperlihatkan pencapaian yang positif.”

Presiden Umno itu dipetik media tempatan berkata demikian ketika menghadiri program di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Gambar fail.

Zahid bagaimanapun menyerahkan pengumuman lanjut kepada Ab Rauf.

“Saya tidak dapat mengumumkannya sehingga Ketua Menteri Melaka yang sudah diberikan mandat untuk membuat pengumuman, sila lakukan soalan susulan kepada beliau,” katanya.

Pada 24 Oktober, media berbahasa Cina melaporkan Wee dan pemimpin MCA lain meninggalkan dewan ketika majlis pengumuman calon BN, dipercayai kerana tidak berpuas hati parti itu hanya diperuntukkan dua kerusi.

Dalam sidang media tergempar selepas itu, Wee berkata MCA tidak berpuas hati kerana kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu diserahkan kepada “pihak lain” tanpa rundingan.

Ditanya jika MCA bercadang tidak bertanding dalam PRN Melaka sebagai tanda bantahan, dia berkata parti itu akan melihat perkembangan dalam beberapa hari berikutnya.

Ketidakpuasan hati MCA berkait dengan strategi BN yang dilihat memilih langkah selamat dengan bertanding hanya di kerusi yang dimenanginya atau rakan kerjasamanya, PN, sebelum ini.

Berdasarkan pengumuman calon pada 24 Oktober, MCA hanya diperuntukkan Machap Jaya dan Kelebang, dua kerusi yang dimenanginya dalam PRN lalu.