PARLIMEN | Tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenal pasti dalam kalangan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan Op Viking yang terkait dengan dakwaan 'mafia korporat' di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata seramai 70 individu dirakam keterangan masing-masing oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat 25 Sept lalu.

Menurutnya, tindakan pembekuan dan penyitaan aset turut dilakukan, melibatkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta.

“Berdasarkan kepada latar belakang dan identiti individu-individu saksi yang dipanggil untuk rakaman percakapan, tiada pegawai SPRM terlibat atau pun dikenal pasti bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Saifuddin menjelaskan, pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram PDRM membuka kertas siasatan pada 14 Okt 2025 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN - Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai skop dan status terkini siasatan PDRM terhadap dakwaan 'mafia korporat'.

Dia juga meminta penjelasan mengenai kemungkinan penglibatan pegawai SPRM atau agensi penguat kuasa lain serta dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Menurut Saifuddin, Op Viking masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan bahawa PDRM komited melaksanakan siasatan ini mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Bloomberg pada 12 Februari lalu melaporkan dakwaan kewujudan 'mafia korporat' menyusup masuk ke SPRM dengan mengaitkan pegawai tertinggi agensi itu dalam skim yang didalangi rangkaian ahli perniagaan bagi mengambil alih syarikat tertentu.

Dakwa Bloomberg, mereka menyasarkan syarikat milik tempatan, menyingkirkan pengasasnya sebelum mengambil alih kawalan entiti berkenaan.

Media turut melaporkan, polis menyita dan membekukan aset bernilai hampir setengah bilion ringgit dalam satu kejayaan besar siasatan berterusan terhadap sindiket pengubahan wang haram yang canggih dalam Op Viking.

Sementara itu, pasukan siasatan terbabit dipetik sebagai berkata, kes berkenaan dibuka pada Okt tahun lalu hasil risikan dikumpul sejak 2018.

Ia membabitkan rangkaian kesalahan yang kompleks, daripada pinjaman wang haram dan manipulasi pasaran saham sehinggalah pelanggaran pendedahan korporat.