Kes Teoh Beng Hock: MP tanya lain, menteri jawab lain
Seorang ahli parlimen meminta penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung siasatan kes kematian bekas pembantu Adun DAP, Teoh Beng Hock.
Menteri itu memberikan jawapan namun dilihat menyimpang daripada soalan yang dikemukakan.
Chow Yu Hui (DAP-Raub) bertanya mengapa hasil siasatan polis masih belum didedahkan kepada keluarga Teoh serta asas undang-undang mengenai keputusan untuk tidak mendedahkannya.
Saifuddin sebaliiknya berkata polis telah mengambil tindakan yang sewajarnya susulan perintah mahkamah pada November 2024 bagi melengkapkan siasatan kes kematian Teoh.
Menurutnya, kertas siasatan itu kemudiannya dirujuk kepada Peguam Negara pada 14 Mei 2025.
“Setelah meneliti keseluruhan fakta dan keterangan dalam kertas siasatan, Peguam Negara telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai ‘No further action' (NFA) atas alasan bukti sedia ada tidak mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu di mahkamah mengikut standard pembuktian jenayah yang ditetapkan, iaitu ‘beyond reasonable doubt’.
/file/attachments/orphans/saifuddin1sd_904655.png)
“Selanjutnya, keputusan kes ini telah dimaklumkan kepada pihak keluarga mendiang Teoh Beng Hock melalui surat kepada peguam pada 20 Mei 2025. Terima kasih,” katanya.
Teoh, yang ketika itu merupakan pembantu Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemukan mati pada 2009 selepas disoal siasat sepanjang malam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang ketika itu terletak di Plaza Masalam, Shah Alam.
Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 merumuskan bahawa Teoh terdorong membunuh diri akibat soal siasat agresif.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan pada 2014 bahawa kematiannya disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan menyalahi undang-undang, termasuk perbuatan pegawai SPRM.
Pada 21 November 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyelesaikan siasatan kematian Teoh dalam tempoh enam bulan.
Pada Mei tahun ini, keluarga Teoh memfailkan semakan kehakiman bagi memaksa pihak berkuasa menyiasat kematiannya sebagai kes pembunuhan. Mereka turut mencabar tindakan polis yang didakwa menggunakan kesalahan yang “tidak tepat” dan lebih ringan.
Langkah itu diambil selepas polis mengesahkan pada Januari bahawa siasatan terdahulu berhubung kematian Teoh dijalankan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kesalahan kurungan salah.
Pada Ogos, Persatuan Kemajuan Demokratik Teoh Beng Hock (TBH-ADA) melancarkan kempen “Email Anwar”, yang menggesa orang ramai menghantar e-mel kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan menuntut beliau menunaikan janji kepada keluarga Teoh, mendedahkan hasil siasatan kerajaan serta menjelaskan mengapa tiada sesiapa dipertanggungjawabkan atas kesalahan jenayah berkaitan kematian itu.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/2343223324_511512.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.