PARLIMEN l  Dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri-negeri dalam gabungan State Government 4 (SG4) adalah tidak berasas, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata ini kerana perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis adalah 6.8 kali ganda lebih tinggi berbanding perbelanjaan pembangunan yang disediakan kerajaan negeri berkenaan.

Kerajaan Persekutuan tidak mengetepikan mana-mana negeri dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negara, sebaliknya turut menanggung kos pembangunan infrastruktur dan kawasan perindustrian bagi merapatkan jurang pembangunan.

Justeru, beliau berkata peruntukan pembangunan tidak wajar dinilai berdasarkan perbandingan angka semata-mata kerana keperluan dan kos pembangunan setiap negeri berbeza.

“Sebagai contoh, pembangunan kawasan perindustrian seperti Tok Bali di Kelantan dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah memerlukan peruntukan Kerajaan Persekutuan, termasuk bagi urusan pembelian tanah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) pada peringkat dasar bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta Kementerian Ekonomi menilai semula formula agihan peruntukan pembangunan bagi memastikan negeri kurang membangun SG4 menerima perhatian sewajarnya.

Mohd Syahir turut mendakwa peruntukan pembangunan bagi enam negeri, iaitu SG4, Sabah dan Sarawak berjumlah RM21 bilion bagi tahun depan, menyusut kepada nisbah 37 peratus berbanding 50 peratus yang menurutnya sepatutnya diperuntukkan.

Oleh itu, beliau meminta kerajaan mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus peruntukan pembangunan bagi enam negeri berkenaan dalam rancangan pembangunan akan datang.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata pada tahun lepas, kos keseluruhan projek pembangunan yang dirancang di Kelantan ialah RM31.21 bilion, hampir setara dengan RM33.2 bilion bagi 280 projek pembangunan yang diluluskan di Pulau Pinang di bawah Rolling Plan Kedua 2027, Rancangan Malaysia Ke-13.

“Kelantan mempunyai 509 projek pembangunan pada tahun berkenaan, berbanding 280 projek di Pulau Pinang … sebab itu, saya mengharapkan yang di sebelah sana (pembangkang), bila mengeluarkan kenyataan itu bersifatlah dengan lebih adil,” katanya.

- Bernama