PM arah Rapid KL, MOT segera tangani kesesakan tren
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Rapid KL dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengambil perhatian terhadap masalah kesesakan perkhidmatan tren yang berulang serta mencari penyelesaian segera.
Menerusi satu kenyataan di Threads, Anwar berkata masalah berkenaan kerap berlaku sehingga menjejaskan rutin harian orang ramai.
“Wassalam. Saya mohon @myrapidkl dan @ministryoftransportmy @lokesiewfook ambil perhatian pada permasalahan ini dan cari penyelesaian segera.
“Kerap kali terjadi dan ia pastinya merencatkan rutin harian rakyat terbanyak. Kita mesti lebih peka dan bertindak,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons aduan seorang pengguna Threads yang berkongsi gambar keadaan platform sesak di stesen LRT Gombak dan Taipan.
Pengguna berkenaan meminta supaya lebih banyak gerabak tren disediakan, sambil meluahkan dilema pengguna yang terpaksa berdepan kesesakan jalan raya jika memandu atau kesesakan penumpang jika menggunakan tren.
Masalah kesesakan di stesten LRT bukan perkara baru bagi pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang, khususnya ketika waktu puncak apabila penumpang terpaksa menunggu lebih lama selepas tidak dapat menaiki tren sebelumnya kerana kapasiti yang terhad.
/file/attachments/orphans/23423432_349342.jpg)
Selain kesesakan, pengguna juga berulang kali berdepan gangguan operasi akibat masalah teknikal yang menyebabkan kelewatan perjalanan dan limpahan penumpang di platform.
Pada Februari lalu, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami dua gangguan pada hari sama, termasuk masalah teknikal tren pada waktu pagi dan kerosakan sistem pintu tren serta pintu platform di stesen KLCC pada sebelah petang.
Insiden itu menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa stesen utama sehingga Rapid KL mengeluarkan nasihat kepada penumpang supaya mempertimbangkan laluan alternatif.
Pada Mei lalu, satu lagi gangguan berlaku di Laluan Kelana Jaya selepas sebuah tren tidak dapat bergerak akibat masalah komponen ketika waktu puncak pagi, menyebabkan ratusan penumpang terkandas di platform yang sesak.
Bagaimanapun, jumlah gangguan perkhidmatan rel kendalian Prasarana menunjukkan penurunan daripada 118 kes pada 2023 kepada 71 kes pada 2024 dan 31 kes pada 2025, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Januari lalu.
Loke sebelum ini turut mengakui prestasi Laluan Kelana Jaya masih belum memuaskan meskipun terdapat penambahbaikan, dengan 16 gangguan direkodkan sepanjang 2025 berbanding 26 kes pada 2024.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/533453534453_305369.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.