Penganjur sebuah gig muzik bawah tanah aliran hardcore di Melaka berdepan kemungkinan didakwa berhubung penganjuran acara tanpa permit, susulan kematian seorang peserta yang cedera parah ketika acara itu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Halim Abas berkata kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak pendakwaan negeri dan kes itu diputuskan tiada tindakan lanjut (NFA).

"Kita dah rujuk Pejabat Pendakwaan Negeri dan kes diputuskan NFA. Tapi akan dipertimbangkan untuk tuduh Enakmen Hiburan atas penganjuran event gig tanpa permit.

"Kami masih dalam proses memperkemaskan siasatan sebagaimana kehendak Timbalan Pendakwa Raya," kata Halim kepada Malaysiakini.

Pada 17 Oktober, seorang pekerja penghantaran barangan berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah di belakang kepala ketika menyertai aktiviti moshing pada gig di sebuah ruang acara di Kampung Jawa, Melaka Tengah.

Dia dibawa ke Hospital Melaka dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum meninggal dunia pada 3.53 petang, 21 Oktober, empat hari selepas kejadian.

Polis pada awalnya menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau cara berbahaya.

Seramai 10 individu berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan pada 18 dan 19 Oktober bagi membantu siasatan.

Pada 25 Oktober, polis memaklumkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian mangsa.

Gig merujuk kepada persembahan muzik secara langsung oleh pemuzik atau kumpulan muzik, yang lazimnya diadakan di pub, kelab, festival atau ruang persembahan berskala kecil.

Moshing merupakan gaya tarian yang melibatkan pergerakan seperti saling menolak atau berlanggar. Aktiviti itu lazimnya berlangsung di ruang hadapan pentas yang dikenali sebagai mosh pit.