PRN MELAKA | Pakatan Harapan (PH) sepakat memilih Adly Zahari sebagai calon ketua menteri sekiranya gabungan itu diberi mandat membentuk kerajaan selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 14 Nov ini.

Pengarah Pilihan Raya PH Amirudin Shari dipetik BH Online berkata Adly yang juga pengerusi PH Melaka merupakan pilihan terbaik gabungan itu, meskipun terdapat beberapa calon lain.

"Setakat ini, Adly calon ketua menteri menerusi persefahaman jika kita dapat majoriti atau diberi kepercayaan (dalam PRN Melaka).

"Kita mempunyai beberapa calon lain, tetapi Adly adalah pilihan terbaik," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Stadium Kajang, hari ini.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor turut menyuarakan keyakinan PH mampu memberikan saingan sengit, namun mengakui masih terlalu awal untuk menilai suasana kempen.

"Setakat semalam, masih terlalu awal untuk melihat suasana. Namun, kita yakin kita boleh memberikan saingan sengit kali ini, insya-Allah," katanya.

Dia turut memaklumkan PH akan melancarkan manifesto pilihan raya bertemakan "Melaka Rumah Kita" dalam tempoh tiga hari lagi.

Sebelum ini, Adly berkata PH Melaka tidak membincangkan soal "poster boy", sebaliknya mengutamakan usaha memastikan setiap calon memenangi kerusi yang ditandingi.

Menurutnya, pengalaman dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan mendorong PH menilai semula pendekatan kempennya.

Gabungan itu akan memberi tumpuan kepada kekuatan setiap calon, penggemblengan jentera akar umbi serta usaha menangkis politik identiti.

"Tak guna kalau kita ada poster boy dan poster boy kita tak menang," kata naib presiden Amanah itu dalam wawancara dengan Malaysiakini di Parlimen sebelum ini.