TuJu muncul kembali, tapi kini alih pengguna ke Google Maps untuk navigasi
Aplikasi navigasi TuJu yang sempat mencetuskan kontroversi dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai baru-baru ini sekarang didapati kembali berfungsi dalam talian.
Namun kali ini TuJu hadir tanpa sebarang perkhidmatan navigasi.
Sebaliknya, kemas kini terbaru aplikasi itu setakat 30 Okt lalu akan mengalihkan pengguna kepada Google Maps apabila mereka mahu menggunakan fungsi navigasi, termasuk untuk menuju ke kawasan rehat dan rawat (R&R).
Perkembangan itu berlaku ketika kritikan berterusan terhadap gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya rakyat Malaysia beralih kepada TuJu sebagai aplikasi navigasi berbanding Waze.
Ironinya, Google Maps dilaporkan turut menggunakan sebahagian data daripada Waze, termasuk maklumat penutupan jalan dan insiden trafik.
Waze - yang juga dimiliki Google - mahu diharamkan oleh kerajaan atas alasan aplikasi tersebut berpangkalan di Israel.
Bagaimanapun, tiada sebarang integrasi yang jelas antara Google Maps dan TuJu.
Ia bermakna pengguna yang mahu memanfaatkan akses TuJu kepada kamera trafik perlu bertukar antara kedua-dua aplikasi ketika berada di jalan raya.
Sementara itu, ruangan maklumat trafik dalam aplikasi TuJu pula sekadar memaparkan hantaran Facebook daripada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, ketika ditemui di parlimen hari ini berkata, kementeriannya dan LLM dipanggil untuk memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) berhubung isu TuJu.
Katanya pertemuan tersebut dijangka berlangsung minggu ini.
Bagaimanapun Nanta tidak pasti jika pemaju aplikasi itu, Prosignal Consortium Sdn Bhd, turut dipanggil jawatankuasa terbabit.
"Saya tak tahu sama ada melibatkan syarikat (pemaju aplikasi) atau tidak, tapi isu TuJu, PSSC panggil kementerian," katanya.
/file/attachments/orphans/AlexanderNantaLinggi1_168087.png)
Dia berkata demikian ketika ditanya jika Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan susulan kebimbangan yang dibangkitkan mengenai penggunaan aplikasi itu.
Pada Sabtu lalu, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata pengurusan tertinggi LLM perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan diberikan maklumat mengelirukan mengenai kemampuan aplikasi navigasi TuJu.
Pada 20 Okt lalu Anwar menggesa rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada TuJu atas alasan faktor keselamatan negara, termasuk kaitan Waze dengan Israel dan kemungkinan penyalahgunaan data rakyat Malaysia.
Kerajaan juga memutuskan untuk melarang penjawat awam menggunakan Waze, selain cadangan larangan menyeluruh terhadap semua rakyat Malaysia turut dipertimbangkan.
Ambil tindakan proaktif
Bagaimanapun, pengguna tidak lama kemudian mendapati TuJu tidak dapat berfungsi seperti yang diharapkan, menyebabkan operasi aplikasi itu digantung buat sementara waktu.
Mengulas lanjut, Nanta berkata satu sesi pemukiman KKR pada hujung minggu lalu yang melibatkan semua agensi di bawah kementerian berkenaan turut membincangkan penambahbaikan yang diperlukan terhadap TuJu sebagai sebahagian daripada pelan tindakan keseluruhan kementerian tahun depan.
"Kami mengadakan sesi pemukiman untuk membincangkan pelan tindakan 2027.
"Ini memang kami buat setiap tahun selepas belanjawan diluluskan di peringkat dasar, melibatkan semua agensi di bawah KKR.
"Dua hari kami duduk bersama. Dalam tempoh itu juga kami bincang sedikit tentang TuJu.
"Kita ambil tindakan proaktif bukan sahaja mengenai TuJu, tetapi juga semua perkara lain," katanya.
Dalam wawancara bersama Malaysiakini sebelum ini, Pengerusi LLM Hasni Mohammad berkata TuJu sememangnya tidak dibangunkan untuk bersaing secara langsung dengan Waze atau berfungsi sebagai aplikasi navigasi.
Sebaliknya, kata Hasni, TuJu dibangunkan lebih kepada untuk meningkatkan perkhidmatan di lebuh raya bertol..
Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kerajaan diberikan maklumat yang tidak tepat berhubung kemampuan TuJu dalam satu taklimat keselamatan yang tidak dihadirinya.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/Tuju1_957356.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.