Suhaizan gesa kerajaan bantu kakitangan Utusan Malaysia
PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini menggesa kerajaan memperincikan langkah bagi membantu pekerja Utusan Malaysia yang ditempatkan di bawah program cuti berbayar susulan langkah penstrukturan semula membabitkan hampir 100 pekerja syarikat penerbitnya, Media Mulia Sdn Bhd (Media Mulia).
Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berkata kira-kira 100 pekerja berdepan risiko kehilangan pekerjaan susulan krisis pengurusan dan kewangan yang dilaporkan melanda syarikat berkenaan.
"Kita dimaklumkan bahawa Utusan Malaysia sekarang ini menghadapi masalah krisis pengurusan dan kewangan.
"Dengan itu, mungkin mereka ada masalah tentang komitmen, ada anak, ada perbelanjaan keluarga dan lain-lain," katanya.
Suhaizan turut membangkitkan kepentingan sejarah Utusan Malaysia - yang dulu bermula sebagai Utusan Melayu - khususnya peranannya ketika era kemerdekaan negara.
"Ini adalah satu badan yang penting semasa era kemerdekaan dahulu.
"Jadi, apakah cadangan kerajaan untuk mengatasi masalah ini?" soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan hari ini.
Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Khairul Firdaus Akbar Khan menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil bagi membantu pekerja yang diberhentikan, namun tidak menyentuh secara khusus situasi di Utusan Malaysia.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/da66cc4d17159787e752faa330a31f19.jpg)
Khairul Firdaus berkata kementeriannya boleh membantu urusan permohonan bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sekiranya pemberhentian pekerja yang dilaporkan itu benar-benar berlaku.
"Di pihak kementerian, kita ada beberapa siri ataupun beberapa langkah yang akan diambil jika perkara itu benar-benar berlaku.
"Pertama, kita akan memohon dan juga meminta syarikat tersebut untuk melakukan permohonan bantuan dan semakan kelayakan SIP," katanya.
Dia menjelaskan bahawa permohonan faedah SIP perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan.
Pemohon juga perlu mengemukakan dokumen sokongan sebagai bukti kelayakan, tertakluk kepada syarat caruman dan kehilangan pekerjaan yang ditetapkan.
Semalam, Media Mulia mengumumkan hampir 100 pekerjanya akan ditempatkan di bawah program cuti berbayar sebagai sebahagian daripada kajian semula strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju korporat syarikat itu.
Syarikat penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo! itu berkata langkah rasionalisasi berkenaan perlu bagi memastikan kelangsungan operasinya dalam menghadapi perubahan industri media, khususnya peralihan ke platform digital.
Pengarah merangkap ketua pegawai kewangannya, Abd Wahid Idris, berkata program itu akan membolehkan syarikat menilai semula keperluan operasi dan tenaga kerja, di samping memperkukuh operasi digital mereka.
Media Mulia itu turut memberi jaminan untuk melindungi kebajikan dan hak pekerja selaras dengan undang-undang.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/521234123123_162664.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.