Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya akan meluluskan penganjuran acara Hyrox Kuala Lumpur sekiranya tajaan daripada syarikat bir ditarik balik.

Dalam satu kenyataan, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata permohonan untuk menganjurkan acara itu, yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Dis di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, masih dalam proses dan belum mendapat kelulusan kementerian.

Dia turut menjelaskan bahawa acara berkenaan juga tidak menerima sebarang peruntukan daripada kementerian itu.

Hyrox merupakan pertandingan kecergasan dalaman bertaraf antarabangsa yang menggabungkan aktiviti larian ketahanan dengan latihan kekuatan fizikal.

Acara Hyrox Kuala Lumpur yang seterusnya dijadual berlangsung dari 10 hingga 13 Dis, dan mencetuskan perhatian selepas sebuah syarikat bir diumumkan sebagai “rakan bir rasmi” acara itu.

Mengikut garis panduan kementerian, syarikat tembakau, vape dan alkohol dilarang menganjurkan, menaja atau mempromosikan acara sukan yang dikawal selia kementerian, selain menawarkan ganjaran dalam acara sedemikian.

Taufiq berkata, oleh itu, penganjur acara perlu menarik balik tajaan berkenaan,, termasuk membuang semua logo, tanda dagangan dan bahan promosi berkaitan daripada saluran rasmi serta lokasi pertandingan.

Taufiq turut mengingatkan pihak syarikat bahawa mereka perlu mendapatkan kelulusan kementerian sebelum terbabit dalam penganjuran acara sukan.

Pelanggaran peraturan boleh dikenakan denda antara RM50,000 hingga RM500,000, hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Di Threads, penglibatan syarikat alkohol berkenaan mencetuskan perdebatan hangat apabila ramai mengkritik Hyrox kerana didakwa gagal mengambil kira sensitiviti berkaitan alkohol dalam acara awam di Malaysia, khususnya acara yang turut melibatkan peserta beragama Islam.

Penggunaan bir sebagai sebahagian daripada acara Hyrox bukan hanya terhad di Malaysia.

Siri pertandingan kecergasan antarabangsa itu turut menjalinkan kerjasama dengan jenama alkohol, termasuk United Kingdom, yang menyaksikan kerjasama dengan penaja bir dilanjutkan sehingga 2029.

Di negara lain, Hyrox turut bekerjasama dengan rakan minuman bagi menyediakan acara sambutan selepas perlumbaan, dengan pilihan minuman merangkumi minuman beralkohol, rendah alkohol dan tanpa alkohol.