Pernahkah anda memilih makanan berdasarkan harga yang diiklankan, tetapi akhirnya mendapati jumlah yang perlu dibayar lebih tinggi ketika membuat pembayaran?

Bagi ramai pelanggan perkhidmatan penghantaran makanan dan restoran, jumlah bil akhir sering kali mengejutkan apabila caj tambahan seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta caj platform hanya dimasukkan pada peringkat akhir transaksi.

Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata restoran dan platform penghantaran makanan tidak boleh mengiklankan harga yang tidak merangkumi caj-caj berkenaan, sambil memberi amaran bahawa pihak yang melanggar peraturan boleh dikenakan penalti di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Gambar Hiasan

Menterinya Armizan Ali berkata amalan menyembunyikan caj tambahan sehingga ke peringkat akhir transaksi bukan sahaja mengelirukan pengguna, malah menjejaskan hak mereka untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang jelas.

Bercakap kepada Malaysiakini, dia berkata KPDN mendapati amalan itu semakin berleluasa dan akan mempergiat penguatkuasaan mulai Januari 2027.

"Itu sebabkan kita akan fokus kepada advokasi dan penguatkuasaan.

"Peniaga dan pihak berkaitan perlu ambil perhatian dan tindakan pematuhan segera. Kita akan laksanakan penguatkuasaan menyeluruh bermula Januari tahun depan," katanya sambil menambah bahawa kempen kesedaran itu turut merangkumi sesi libat urus dengan platform penghantaran makanan.

Ahli Parlimen Papar itu berkata antara 2023 hingga tahun ini, kementerian telah membuka 64 kes dan mengeluarkan kompaun terhadap pengendali perniagaan yang melanggar Seksyen 10B Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, yang mewajibkan harga yang diiklankan merangkumi semua caj.

Dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, Armizan menjelaskan bahawa peruntukan itu mewajibkan mana-mana pihak yang mempamerkan, mengiklankan, menerbitkan atau menyatakan harga barangan atau caj perkhidmatan supaya memasukkan semua cukai, duti, levi kerajaan dan caj lain yang berkenaan dalam harga yang dipaparkan.

"Ini bermakna pengguna hendaklah dapat melihat harga yang perlu dibayar, dan bukan hanya mengetahui kewujudan caj-caj tertentu di peringkat akhir transaksi," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Mersing Islahuddin Abas.

Gambar Hiasan

Armizan berkata undang-undang itu turut diperkukuh melalui Garis Panduan Penguatkuasaan Harga Terangkum KPDN yang diperkenalkan pada 2018.

Garis panduan itu meliputi sektor makanan dan minuman serta urus niaga e-dagang dan penghantaran, dengan menetapkan bahawa harga akhir yang dipaparkan perlu merangkumi komponen seperti harga asas, caj perkhidmatan dan caj penghantaran sebelum pengguna mengesahkan pesanan.

Individu yang didapati bersalah melanggar Seksyen 10B boleh didenda sehingga RM50,000, dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Jika kesalahan melibatkan sebuah pertubuhan perbadanan, syarikat berkenaan boleh didenda sehingga RM100,000.

Secara berasingan, Armizan berkata Akta Perlindungan Pengguna turut menjadikan tindakan mengelirukan pengguna berhubung harga barangan atau perkhidmatan sebagai satu kesalahan.

Di bawah akta itu, sesuatu representasi harga dianggap mengelirukan sekiranya harga yang dipaparkan memberikan gambaran bahawa ia merangkumi semua kos, sedangkan caj tambahan sebenarnya dikenakan secara berasingan.

Armizan turut menggesa pengguna supaya menyemak harga akhir sebelum membuat pembayaran dan mengemukakan aduan kepada KPDN sekiranya berdepan caj tersembunyi atau percanggahan antara harga yang diiklankan dengan jumlah yang akhirnya dikenakan.