PAS tak pula guna istilah dajal untuk CSA ketika dalam kerajaan - Kamil
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Kamil Munim mempersoalkan tindakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengaitkan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan pendekatan Dajal.
Kamil berkata, PAS sendiri pernah menerima persefahaman politik yang mempunyai elemen serupa ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, pada 13 Sept 2021, satu Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan ketika itu dengan Pakatan Harapan (PH).
“Walaupun dinamakan MoU, persefahaman tersebut turut mengandungi elemen confidence and supply bagi menjamin kestabilan kerajaan dan kelulusan Belanjawan.
“Ketika PAS berada dalam kerajaan, persefahaman sedemikian dianggap perlu demi kestabilan negara. Tidak pula kedengaran istilah Dajal digunakan.
“Tetapi apabila PAS berada di luar kerajaan, mekanisme politik yang serupa tiba-tiba dikaitkan dengan Dajal.
“Apakah ini suatu kaedah baru dalam politik PAS? Halal bagi kami, haram bagi kamu?
“Atau hukum politik ini mempunyai pengecualian khas untuk rakan sekutu?” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Abdul Hadi berkata perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) yang dimeterai kerajaan dengan 13 ahli parlimen pembangkang sebagai 'pendekatan daja'l kerana dianggap mengkhianati amanah.
/file/attachments/orphans/New-Big-Picture-template-121026-30_493384.jpg)
Ahli politik berusia 79 tahun itu berkata, Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa menjelang kiamat akan muncul "beberapa dajal kecil" di seluruh dunia sebelum Dajal besar hadir.
"Kemunculan confidence and supply agreement (CSA) atau dalam bahasa Melayu (disebut) sebagai perjanjian keyakinan dan perbekalan ialah satu bentuk persetujuan politik di parlimen.
"Melalui persetujuan ini, blok pembangkang atau ahli parlimen bebas bersetuju untuk memberikan sokongan bersyarat kepada pihak kerajaan.
"CSA adalah pendekatan Dajal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa," katanya.
Mengulas lanjut, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, perbezaan pandangan mengenai CSA, termasuk syarat dan pelaksanaannya, adalah perkara yang boleh dibincangkan.
Bagaimanapun, katanya, istilah agama tidak sepatutnya digunakan untuk menghukum sesuatu mekanisme politik yang pernah diterima PAS ketika berada dalam kerajaan.
“Kita boleh berbeza pandangan tentang CSA, malah boleh mempertikaikan syarat dan pelaksanaannya. Tetapi janganlah sampai istilah agama digunakan untuk menghukum sesuatu yang dahulunya diterima ketika berada dalam kerajaan.
“Yang berubah ialah kedudukan politik. Jangan sampai neraca halal dan haram pun turut berubah mengikut kedudukan kerusi.
“Agama mengajar kita berlaku adil dan berpegang pada prinsip, bukan menyediakan dua ukuran berbeza mengikut siapa yang sedang berkuasa,” katanya.
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/1228624c5e6aed7c1e9f1aac9e5e3548.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.