Keputusan majoriti 2-1 di Mahkamah Rayuan ubah nasib Da’i Syed
Hakim Mahkamah Rayuan menasihati penceramah selebriti Da’i Syed, atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, supaya tidak menyalahgunakan populariti atau mengambil kesempatan terhadap individu yang rapuh emosinya.
Hakim Azman Abdullah, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata tindakan mengambil kesempatan terhadap individu yang tidak stabil dari segi emosi boleh merosakkan reputasi pihak yang membawa imej agama.
“Saya ingin berpesan kepada perayu. Nasihat ini bukan sahaja untuk kamu. Kita kerap melihat kes rogol, liwat dan kesalahan seumpamanya berlaku di sekolah pondok yang didakwa dilakukan oleh guru... ini memberi gambaran buruk kepada masyarakat,” katanya.
Syed Shah Iqmal, 31, yang berdiri di kandang tertuduh, dilihat mengangguk ketika mendengar teguran hakim tersebut.
Sebelum itu, menerusi keputusan majoriti 2-1, Hakim Azman Abdullah dan Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membebaskan dan melepaskan Syed Shah Iqmal daripada tuduhan merogol seorang wanita pada 2019, manakala hakim ketiga, Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid, menentang dan berhasrat mengekalkan sabitan serta hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tinggi.
Panel membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan akhir Syed Shah Iqmal terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Selepas Hakim Azman membacakan keputusan majoriti, Syed Shah Iqmal dilihat menangis di kandang tertuduh, manakala isterinya, Hana Ismail, yang duduk di galeri awam, turut kelihatan menangis.
Pada 10 Dis 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak salah atas tuduhan merogol seorang wanita berumur 23 tahun di sebuah unit kondominium di I-City, Seksyen 7, di Shah Alam, kira-kira jam 1.35 pagi pada 11 Sept 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan dan melepaskan dia daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan Syed Shah Iqmal membela diri.
Hakim Azman dalam penghakimannya berkata terdapat kekhilafan yang serius dalam dapatan Mahkamah Tinggi dan Sesyen sebelum ini sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Beliau berkata tingkah laku mangsa, yang merupakan saksi pendakwaan pertama (SP1), tidak selari dengan kelakuan seseorang yang menjadi mangsa rogol tanpa kerelaan.
"Tiada rasa cemas, panik, trauma serta-merta atau reaksi kesedihan oleh mangsa di lokasi kejadian. Mangsa tidak cuba melarikan diri, sebaliknya bermalam di rumah perayu dan hanya pulang keesokan harinya. Setibanya di rumah, SP1 menghantar mesej 'Safely Arrived' kepada perayu menerusi WhatsApp dan Instagram, sebelum kedua-duanya terus berkomunikasi selama beberapa bulan berikutnya.
"SP1 tidak pernah meluahkan rasa marah, kesal atau sedih terhadap perbuatan perayu pada malam berkenaan. Sebaliknya, mesej-mesej itu menunjukkan SP1 memulakan perbualan secara santai dan berterusan serta berusaha mengajak perayu untuk bertemu lagi," katanya sambil menambah perayu tidak pernah menafikan melakukan hubungan seks, namun menegaskan ia dilakukan atas kerelaan wanita terbabit.
Hakim Azman berkata mangsa juga hanya membuat laporan polis pada 25 Nov 2021, iaitu 441 hari selepas kejadian susulan perayu (Syed Shah Iqmal) mula menunjukkan kurang minat dan tidak lagi membalas mesejnya dan dakwaan bahawa persetubuhan berlaku secara paksa tidak boleh diterima oleh mahkamah.
Hakim Azman berkata mahkamah turut meneliti keadaan kesihatan mental SP1 yang mempunyai sejarah mengalami kemurungan dan menerima rawatan psikiatri.
Menurut beliau SP1 sebelum ini disahkan mengalami kemurungan dengan simptom keresahan serta diberikan ubat bagi merawat kemurungan dan menstabilkan emosinya, namun mahkamah berpendapat faktor kemurungan atau kenaifan SP1 tidak boleh secara automatik digunakan untuk menafikan kerelaan dalam hubungan seks itu.
"Oleh itu, kami berpendapat bahawa pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, justeru sabitan terhadap perayu tidak selamat untuk dikekalkan. Memandangkan sabitan terhadap perayu diketepikan, rayuan silang pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman menjadi akademik.
"Dengan ini, kami membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan sabitan serta hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen serta disahkan oleh Mahkamah Tinggi. Perayu dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
Sementara itu, Hakim Meor Hashimi dalam penghakimannya berkata mangsa disahkan mengalami Major Depressive Disorder with Psychosis Borderline Personality Disorder menyebabkan tiada izin (consent) boleh diberikan oleh mangsa dalam hubungan seks dengan perayu.
"Ini menunjukkan hubungan seks antara perayu dan mangsa dilakukan tanpa kerelaan mangsa dan dengan paksaan perayu. Perayu telah mengambil kesempatan atas masalah kemurungan berpanjangan yang dialami oleh mangsa," katanya.
Hakim itu berkata perbuatan mangsa yang masih menghantar mesej-mesej kepada perayu selepas kejadian rogol menunjukkan mangsa tidak bertindak seperti seorang yang normal akibat masalah kemurungan yang berpanjangan dan diberikan ubat untuk mengubati masalah kecelaruan personaliti, gangguan halusinasi dan keinginan membunuh diri.
Hakim Meor Hashimi menolak rayuan perayu selepas mendapati rayuan itu tidak bermerit, dan mengekalkan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Sesyen yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi.
"Saya juga menolak rayuan pendakwa raya terhadap hukuman selepas mendapati hukuman yang dikenakan adalah memadai, setimpal dan tidak keterlaluan setelah mengambil kira aspek kepentingan awam dan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh perayu," katanya.
Pada prosiding hari ini perayu diwakili peguam M Athimulan, Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/b9e5f18e6056ac540b3bab0c0c0dae6c.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.