Bantuan kerajaan kepada masyarakat India bukan hanya disalurkan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sebaliknya meliputi pelbagai inisiatif dalam bidang kebajikan, keusahawanan, pendidikan dan pembangunan sosial.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bantuan turut disediakan menerusi pelbagai agensi dan program kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (Sara), pembiayaan keusahawanan melalui Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia selain peruntukan bagi pembangunan sekolah Tamil serta rumah ibadat.

"Kadang-kadang orang ingat untuk bantuan masyarakat India ini hanya Mitra, sedangkan ada STR, Amanah Ikhtiar, Tekun (Nasional) ... ini semua juga sebahagian daripada bantuan yang kita sediakan.

“Adakah ini cukup? Belum cukup... itu saya setuju tetapi kita tambah perlahan-lahan... kita bincang dengan baik di mana dulu tidak ada, tapi kita tambah yang baharu," katanya ketika berucap semasa meninjau Bazar Mega Deepavali 2026 Brickfields di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Sumber Manusia R. Ramanan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan Mitra berjumlah RM100 juta setahun sejak 2008 ditingkatkan kepada RM150 juta, iaitu kenaikan sebanyak 50 peratus.

Beliau berkata keutamaan peruntukan itu diberikan kepada program latihan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan kepada golongan muda khususnya dalam bidang automasi industri, teknologi serta penyelenggaraan pesawat.

Selain itu, kerajaan memperluas kemudahan pembiayaan Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan tambahan RM150 juta bagi membantu usahawan dalam kalangan masyarakat India.

Dalam bidang pendidikan pula, Anwar berkata peruntukan bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ditingkatkan kepada RM50 juta, dengan keutamaan kepada sekolah daif serta memerlukan perhatian.

Selain itu, beliau berkata kerajaan merancang pembinaan semula sepenuhnya SJKT Ladang Pamol di Kluang, Johor selain menambah enam SJKT baharu termasuk di Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Klebang di Perak.

Sementara itu, peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembangunan rumah ibadat berdaftar turut ditingkatkan kepada RM80 juta tahun depan berbanding RM50 juta setahun sejak 2021.

“Dulu pun ada bantuan ini tetapi di bawah Kerajaan MADANI, ia ditambah secara berperingkat menerusi perbincangan dan penelitian terhadap keperluan masyarakat,” katanya.

- Bernama