Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, mengecam ketidakhadiran Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad dan timbalannya, Hanifah Hajar Taib, di Dewan Rakyat pagi ini sehingga menyebabkan soalan lisan mengenai isu kemudahan kesihatan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak dapat dijawab.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menyifatkan kejadian berkenaan sebagai penghinaan kepada Dewan Rakyat dan memalukan kerajaan kerana kedua-dua anggota pentadbiran itu didawak tidak hadir untuk menjawab soalan berkenaan.

“Satu persoalan yang bagi kita satu kegagalan besar oleh pihak kerajaan, pihak anggota pentadbiran pada hari ini ialah apabila soalan lisan nombor tiga yang dibawa oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju berkaitan dengan isu kesihatan telah tidak dapat dijawab,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Soalan lisan berkenaan dikemukakan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan sama ada Kementerian Kesihatan bercadang meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan primer, termasuk membina atau menaik taraf klinik kesihatan di kawasan Parlimen itu.

Pertanyaan itu dikemukakan memandangkan Wangsa Maju merupakan kawasan parlimen paling padat penduduk di Malaysia, dengan kepadatan 14,059 orang bagi setiap kilometer persegi.

Bagaimanapun, apabila tiba giliran soalan itu dijawab, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, memaklumkan bahawa menteri dan timbalan menteri kesihatan tidak berada di dalam Dewan.

"Untuk soalan nombor tiga, menteri dan timbalan menteri tiada dalam Dewan," katanya sebelum menjemput Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengemukakan soalan nombor empat.

Zahir kemudian meminta penjelasan sama ada dia boleh mengemukakan soalannya selepas menteri atau timbalannya tiba.

Namun, Alice memaklumkan perkara itu tidak dapat dilakukan sebelum prosiding diteruskan dengan soalan berikutnya.

Keputusan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini, manakala Wan Saiful meminta supaya ketidakhadiran menteri dan timbalannya direkodkan dalam prosiding Dewan.

Mas Ermieyati turut mempersoalkan ketidakhadiran kedua-dua anggota pentadbiran itu kerana menyifatkannya sebagai tindakan tidak menghormati Dewan Rakyat serta Ahli Parlimen lain yang sudah membuat persediaan untuk mengemukakan soalan.

Dia turut menyifatkan perkara itu sebagai serius.

Mengulas kejadian itu dalam sidang media pembangkang selepas itu, Takiyuddin sekali lagi menyifatkan ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri kesihatan sebagai kegagalan besar kerajaan.

"Ini kerana Yang Berhormat Menteri Kesihatan mahupun Timbalan Menteri Kesihatan tidak hadir ke Dewan.

"Ini adalah satu penghinaan kepada Dewan, sesuatu yang memalukan kerajaan," katanya.

Dia turut menuntut penjelasan kerajaan mengenai sebab kedua-dua anggota pentadbiran itu tidak hadir ketika soalan berkenaan dipanggil.

Kejadian itu mengingatkan kepada insiden pada 27 Mac 2023 apabila Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu, Lim Hui Ying, ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, kerana tidak menyediakan jawapan bagi soalan lisan mengenai Program Makanan Tambahan di sekolah.

Ketika itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak hadir dan soalan berkenaan sepatutnya dijawab oleh timbalannya.

Lim kemudian memohon maaf kerana tidak menyediakan jawapan dan meminta supaya maklum balas diberikan secara bertulis. Tindakan itu mencetuskan bantahan Ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, kedua-dua insiden itu berbeza. Pada 2023, timbalan menteri hadir tetapi tidak bersedia dengan jawapan, manakala dalam kejadian hari ini, kedua-dua menteri dan timbalan menteri kesihatan tidak berada di dalam Dewan ketika soalan berkenaan dipanggil.

Tak sempat masuk kerana soalan nombor dua ditangguhkan

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa timbalan Menteri Kesihatan, Hanifah Hajar Taib telah pun hadir ke Parlimen dan ketika itu sedang mengadakan perbincangan akhir bersama pegawai kementerian di ruang luar dewan sebagai persiapan menjawab soalan ketiga.

Bagaimanapun, soalan kedua terpaksa ditangguhkan selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang sepatutnya mengemukakan soalan tersebut, tiba lewat ke parlimen.

"Kelewatan ini menyebabkan giliran Aturan Urusan Mesyuarat melangkau terus kepada soalan ketiga secara drastik.

"Perubahan aliran yang mendadak tanpa sebarang pemakluman awal daripada Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) ini menjadi punca utama YB Timbalan Menteri tidak sempat memasuki dewan tepat pada waktunya,” menurut kementerian itu.

KKM menjelaskan Hanifah selepas itu telahpun berjumpa Zahir dan memberikan jawapan terperinci berhubung soalan yang dibangkitkan secara bertulis.

Mengenai ketidakhadiran Menteri Kesihatan, kementerian berkata Dzulkefly tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini kerana perlu berada di Melaka untuk menyaksikan majlis penyerahan Surat Setuju Terima (LOA) bagi pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak Hospital Melaka.