Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Yayasan Aman merancang menubuhkan sebuah platform penyelidikan yang membawa nama bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Langkah awal penubuhan platform itu diumumkan semasa majlis pemeteraian surat hasrat (LOI) di antara kedua-dua pihak pada hari ini.

Menurut penyelaras kerjasama itu, Mohd Faizal Musa, pemilihan Wan Azizah dibuat berdasarkan sumbangan dan legasinya sebagai tokoh masyarakat, terutama ketika menjawat jawatan timbalan perdana menteri dari 2018 hingga 2020.

Dia yang juga Felo Penyelidik Atma, berkata antara sumbangan penting Wan Azizah ialah usaha memperkenalkan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Ogos 2018 bagi mengiktiraf sumbangan suri rumah terhadap ekonomi keluarga dan negara.

Menerusi program itu, katanya, suri rumah, ibu tunggal, balu dan wanita bujang yang berdaftar dalam sistem e-Kasih layak menerima insentif khas kerajaan, selain menikmati dividen tahunan KWSP dan bantuan kematian.

Dalam tempoh kurang setahun pelaksanaannya, lebih 111,000 wanita berjaya didaftarkan di bawah program berkenaan.

Wan Azizah, tambahnya, turut memainkan peranan dalam usaha menangani perkahwinan bawah umur menerusi pelancaran Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020-2025.

“Pelan itu menggabungkan usaha pelbagai agensi persekutuan, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh undang-undang berkaitan had umur perkahwinan.

“Selain itu, beliau turut menaik taraf Talian Kasih 15999 kepada perkhidmatan 24 jam setiap hari bagi membolehkan mangsa keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan individu yang berdepan tekanan mental mendapatkan bantuan kecemasan serta kaunseling,” katanya.

Tambah Faizal, selain itu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkenaan juga bertanggungjawab menggerakkan penyediaan draf awal Akta Antigangguan Seksual serta memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kanak-kanak daripada pemangsa seksual, termasuk menerusi penubuhan pangkalan data pesalah seksual kanak-kanak.

“Pemilihan Wan Azizah turut mengambil kira pencapaian akademiknya apabila beliau menjadi rakyat Malaysia pertama menerima pingat emas MacNaughton-Jones Gold Medal pada 1977.

“Pengiktirafan itu diterimanya atas kecemerlangan akademik ketika menuntut dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI), Dublin,” katanya.

Ramai ilmuan tersohor di UKM

Wan Azizah memiliki ijazah doktor perubatan daripada institusi berkenaan dan menamatkan latihan pascasiswazah dalam bidang oftalmologi di Royal College of Ophthalmologists, United Kingdom.

Wan Azizah turut menerima anugerah tokoh pendidikan daripada College of Physicians Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang pendidikan, khususnya latihan perubatan.

Mohd Faizal berkata kerjasama Atma dan Yayasan Aman dijangka membuka ruang kepada penerokaan penyelidikan akademik, penerbitan ilmiah serta kerja sosial dalam bidang kepimpinan, ekonomi, perubatan, seni budaya dan pembangunan dasar sosial di alam Melayu.

Sementara itu Bernama melaporkan, Naib Canselor UKM, Prof Sufian Jusoh, berkata inisiatif itu bertujuan mengetengahkan peranan dan sumbangan wanita yang selama ini turut menjadi antara penggerak penting dalam pembangunan masyarakat dan negara, namun perlu diberikan perhatian lebih meluas menerusi dokumentasi sejarah.

“Kerjasama ini melibatkan pembiayaan dan sokongan dokumentasi oleh Yayasan Aman, manakala Atma menyumbangkan kepakaran penyelidikan dalam pelaksanaan program berkenaan.

“Antara fokus utama ialah mendokumentasikan sumbangan wanita dalam pembangunan alam Melayu, dengan bahan dokumentasi itu turut dirancang untuk dimasukkan ke pangkalan data model bahasa besar (LLM) Bahasa Melayu UKM bagi membolehkan akses menerusi aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya selepas majlis pemeteraian itu di Bangi hari ini.

LOI itu ditandatangani oleh Sufian dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Aman, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, disaksikan Wan Azizah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Aman.

Sufian berkata inisiatif itu juga menyasarkan penyebaran ilmu melalui penerbitan dan aktiviti kemasyarakatan, khususnya kepada golongan akademik dan pemimpin masyarakat bagi meningkatkan pemahaman mengenai sejarah dan pembangunan negara.

“Contohnya di UKM, kita ada kolej Ibu Zain (tokoh pendidik Allahyarham Zainon Munshi Sulaiman). Justeru kita nak memperkenalkan siapa beliau sebenarnya.

"Kita juga ada ramai profesor tersohor yang telah dididik UKM sendiri dan membantu dalam pembangunan negara,” katanya.