JIM tumpas sindiket pemalsuan cap keselamatan endorsemen, tiga ditahan
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan cap keselamatan endorsemen imigresen yang dipercayai mampu meraih keuntungan hingga RM15,000 sebulan, dengan penahanan tiga individu dalam operasi khas di Kajang, Selangor dan Pandan Perdana, di Kuala Lumpur, Selasa lepas.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi pada 11 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM Putrajaya selepas risikan selama sebulan di dua premis kediaman.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan dan dua wanita warga Thailand berumur antara 40 hingga 45 tahun, yang dipercayai dalang utama serta ahli sindiket berkenaan.
"Semakan awal mendapati seorang wanita warga Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang – Pasangan Warganegara Malaysia, manakala seorang lagi memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zakaria berkata sindiket itu menggunakan modus operandi memalsukan cap keselamatan endorsemen imigresen yang kononnya dikeluarkan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) bagi mengaburi pihak berkuasa.
Sindiket berkenaan menyasarkan warga asing yang berada di negara ini tanpa pas yang sah atau telah tinggal lebih masa, khususnya warganegara Thailand.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/02/e8cd19f990d447f1c5b98a64e9eb1fbe.jpg)
"Sindiket dipercayai mempromosikan perkhidmatan itu menerusi aplikasi WhatsApp kepada pelanggan yang ingin mendapatkan cap keselamatan palsu dengan bayaran antara RM70 hingga RM100 bagi setiap cap yang dipalsukan dan diturunkan pada pasport pelanggan," katanya.
Beliau berkata pelanggan hanya perlu menghantar pasport tanpa perlu bersemuka bagi mengelakkan identiti mereka dikesan.
"Terdapat juga kemungkinan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan ini tidak menyedari bahawa cap keselamatan yang tertera pada pasport mereka adalah palsu," katanya.
Dalam operasi itu, pasukan turut merampas dua unit cap keselamatan endorsemen Pas Lawatan palsu, satu unit cap keselamatan endosemen keluar palsu, sekeping getah cap keselamatan endorsemen Pas Lawatan palsu serta sekeping getah cap keselamatan endorsemen keluar palsu.
Selain itu, turut dirampas ialah dua unit cap tarikh, lima pad dakwat merah dan biru, enam naskhah pasport Thailand, satu naskhah Pas Sempadan Thailand, lima telefon bimbit, dua buku catatan serta kunci premis.
Zakaria berkata lelaki warga tempatan itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua wanita warga Thailand berkenaan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(l) akta sama.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/e73bb96471c8b24178a6a826872da428.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.