Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis membayangkan bahawa pentadbirannya akan meneruskan dasar tarif menyeluruh meskipun Parti Republikan tewas dalam pilihan raya pertengahan penggal, lapor Kyodo News.

Perkembangan itu berlaku ketika timbul kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup yang sebahagiannya didorong oleh pelaksanaan tarif berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump berkata negara lain meningkatkan pelaburan di AS bagi mengelakkan dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi.

"Jika tarif itu dimansuhkan, mereka pasti sangat gembira. Mereka akan segera menghentikan kerja pembinaan.

"Barangan dari negara seperti China, Jepun dan Korea Selatan kemudiannya akan membanjiri pasaran AS," kata Trump.

Parti Demokrat yang kembali menguasai Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa telah membayangkan akan mendesak pentadbiran Trump memansuhkan tarif berkenaan selepas Kongres baharu mula bersidang pada Januari.

Bagaimanapun, sebarang rang undang-undang yang diluluskan oleh Demokrat masih tertakluk kepada kuasa veto Trump.

Pentadbiran Trump telah mengenakan tarif sehingga 12.5 peratus terhadap barangan dari 60 rakan dagang termasuk China, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).

Duti berasingan mengikut sektor turut dikenakan terhadap barangan import, termasuk kenderaan dan produk keluli.

- Bernama - Kyodo