PRN MELAKA | Perdana Menteri menggesa pengundi supaya membawa perubahan politik bagi membantu menyelamatkan negara, selain mengajak mereka memilih calon yang sehaluan dengan pentadbiran Persekutuan kerana mereka mempunyai “hubungan langsung” dengan pejabatnya.

Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata, pemilihan wakil rakyat yang berkongsi hala tuju dengan Putrajaya serta mempunyai hubungan rapat dengan mereka akan memudahkan pelaksanaan projek pembangunan.

Ia juga, tambahnya, memastikan kebimbangan dan keperluan kebajikan masyarakat setempat diberi perhatian.

Bagaimanapun, rayuan itu boleh menimbulkan persoalan mengenai kewajaran menjadikan akses kepada pejabat perdana menteri sebagai modal kempen pilihan raya, khususnya jika ia memberi gambaran bahawa kawasan yang diwakili calon parti kerajaan mempunyai kelebihan untuk mendapatkan perhatian atau peruntukan pembangunan.

Dengan mengambil conoh calon PH bagi kerusi DUN Paya Rumput dan Kelebang – masing Azman Abidin dan Farzana Hayani Nasir – sebagai contoh, Anwar berkata kredibiliti serta komitmen mereka penting bagi memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi.

“Saya menjaga negara ini, dan saya mahu mereka yang mewakili kita membantu mengikut hala tuju ini. Mereka mesti mengikut dasar ini.

“Jadi, bolehkah wakil kita di sini, Tok Man (Azman) di DUN Paya Rumput membantu? Biarlah ada suara langsung ke pejabat saya.

“Begitu juga dengan calon wanita muda kita (Farzana) di Kelebang. Penampilannya menarik, kerjanya bagus dan rajin,” katanya seperti dipetik Bernama.

Anwar berkata, wakil rakyat yang mempunyai akses langsung kepada kepimpinan tertinggi negara akan memberikan kelebihan kepada penduduk untuk membawa isu berkaitan infrastruktur, sistem perparitan dan sosioekonomi kepada perhatian kerajaan Persekutuan.

Dia turut menggesa pengundi menilai calon berdasarkan keupayaan mereka berkhidmat kepada rakyat, bukannya memilih yang sekadar memainkan sentimen sepanjang kempen.

Dalam satu majlis berasingan ketika menghadiri sambutan Deepavali Sinar Madani di Dewan Utama Kampung Permai, Machap Umboo, Anwar menyuarakan keyakinannya yang PH mampu memenangi PRN Melaka pada 14 Nov ini.

Mengakui Melaka bukan kubu kuat tradisi PH, dia berkata landskap politik boleh berubah, sambil mengambil Selangor dan Perak sebagai contoh negeri yang pernah berdepan cabaran sama oleh gabungan itu.

“Saya tahu mereka kata, ‘Oh, Melaka bukan kubu kuat PH.’

“Saya tahu ia bukan kubu kuat PH… Selangor juga bukan kubu kuat PH sebelum ini, begitu juga Perak.

“Ya, politik ada pasang surutnya, tetapi kali ini saya percaya kita boleh mula membawa perubahan - kita mula membawa perubahan di Melaka untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Sebelum pembubaran DUN, Melaka ditadbir kerajaan BN pimpinan Umno yang diketuai Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

Meskipun Umno dan PH merupakan rakan dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, Umno menjalin kerjasama pilihan raya dengan parti pembangkang, PN, bagi PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 Nov.