Harga barang keperluan Deepavali terkawal, bekalan cukup - KPDN KL
Harga barangan keperluan asas di ibu negara kekal terkawal dengan bekalan mencukupi menjelang sambutan Deepavali, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL).
Pengarah KPDN WPKL Mohd Sabri Seman berkata pemantauan mendapati majoriti barangan kawalan mencatatkan harga stabil, malah terdapat barangan yang dijual pada harga lebih rendah berbanding tahun lepas.
“Sebanyak 99 pegawai penguat kuasa dan 70 Pegawai Pemantau Harga (PPH) digerakkan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan, khususnya sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 dari 4 hingga 10 Nov ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program tinjauan mesra sempena pelaksanaan Program Pasar Patuh (3P) dan SHMMP Deepavali 2026 di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Sabri berkata SHMMP Deepavali tahun ini melibatkan 11 jenis barangan keperluan berbanding sembilan jenis tahun lepas, susulan penambahan dua barangan baharu iaitu santan dan ubi kentang.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/a872f53d842330ad732a794365962658.jpg)
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Program 3P yang diperluas ke Pasar Besar TTDI selepas diperkenalkan secara perintis di Pasar Awam Sungai Besi bertujuan meningkatkan pematuhan peniaga terhadap peraturan serta melindungi hak pengguna.
“Antara inisiatif diperkenalkan menerusi program itu ialah Tanda Harga Patuh dan kaunter 'Jom Timbang & Semak' yang membolehkan pengguna mengesahkan sendiri ketepatan timbangan barangan dibeli.
“Kemudahan itu melengkapkan penguatkuasaan sedia ada yang mewajibkan peniaga memastikan alat penimbang ditentu ukur dengan tepat, manakala mereka yang ingkar boleh dikompaun,” katanya.
Mohd Sabri mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan kerana boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi individu, manakala syaraikat boleh didenda sehingga RM500,000.
Beliau turut menggesa pengguna supaya sentiasa menyemak tanda harga dan melaporkan sebarang pelanggaran melalui aplikasi Ez Adu, portal e-Aduan KPDN, talian pusat panggilan, atau WhatsApp 019-848 8000.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/1ec93fdedfdf033f92d2adde9e1083c5.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.